Anbananthan Ke Hoki Piala Dunia Buat Kali Kedua

Pengadil hoki antarabangsa negara, Anbananthan Rawi terus mencipta kebanggaan apabila dipilih buat kali kedua sebagai umpire di FIH Hoki Piala Dunia di Belgium dan Belanda 2026, sekaligus mengukuhkan reputasinya dalam kelompok pengadil elit dunia.

 

Anbananthan yang berasal dari Kepala Batas, Pulau Pinang kini berkhidmat di Universiti Sains Malaysia (USM) memiliki latar belakang sebagai pemain hoki sebelum bergelar pengadil.

 

Pelantikan itu dilihat sebagai satu pengiktirafan besar memandangkan Piala Dunia hanya berlangsung setiap empat tahun dan pemilihan pengadil dibuat berdasarkan penilaian prestasi sepanjang tempoh tersebut.

 

Anbananthan menyifatkan peluang mengadili temasya berprestij itu yang dijadualkan berlangsung pada 15 hingga 30 Ogos ini sebagai satu amanah besar serta detik bermakna dalam kerjayanya sebagai pengadil antarabangsa.

 

 

“Saya berasa sangat bertuah dan bangga dapat mewakili Malaysia di Piala Dunia. Ini adalah kali kedua saya dilantik sebagai umpire dan saya juga satu-satunya pengadil dari Malaysia yang terpilih,” katanya.

 

Beliau turut menitip nasihat kepada pengadil-pengadil muda yang bercita-cita mencipta nama diperingkat antarabangsa dan memasang impian mengendali perlawanan di Piala Dunia. Jelasnya, untuk mencapai tahap sebegini, perkara pertama adalah disiplin tinggi, stamina dan kesabaran yang tinggi.

 

“Dalam perjalanan sebagai seorang pengadil, kesabaran adalah kunci utama. Setiap perlawanan menuntut komitmen dan profesionalisme yang sama, tidak kira sama ada ia perlawanan biasa atau perlawanan berintensiti tinggi.

 

“Sentiasa memberi yang terbaik dalam setiap tugasan adalah satu amanah yang perlu dijaga. Sepanjang 18 tahun saya bergelar pengadil antarabangsa, pengalaman telah mengajar saya erti disiplin, keteguhan emosi, dan integriti dalam membuat keputusan,” jelasnya.

 

Anbananthan turut menegaskan bahawa kecergasan fizikal antara faktor terpenting untuk kekal di peringkat tertinggi, memandangkan setiap pengadil perlu melepasi ujian kecergasan yang ketat.

 

Selain itu, penguasaan peraturan semasa juga menjadi keutamaan kerana peraturan hoki sentiasa dikemas kini dari semasa ke semasa.

 

“Pengadil perlu sentiasa membaca dan memahami peraturan terkini serta menonton banyak perlawanan bagi menambah pengetahuan dan kefahaman tentang permainan,” katanya yang pernah mewakili Pulau Pinang di peringkat SUKMA, Champions School, Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) dan Liga Hoki Malaysia (MHL) sebelum mengambil keputusan menceburi bidang pengadilan.

 

Perjalanan beliau sebagai pengadil bermula di temasya Pesta Hoki sebelum diiktiraf sebagai pengadil antarabangsa bermula dengan Piala Sultan Azlan Shah, sekaligus membuka laluan ke kejohanan dunia.

 

Selain kejohanan Piala Dunia, Anbananthan juga pernah bertugas di Sukan Komanwel 2018, Kelayakan Olimpik 2024 dan Piala Hero Asia 2025.

 

Untuk rekod, Anbananthan turut meraih anugerah Golden Whistle selepas berjaya mengadili 100 perlawanan antarabangsa dan menyertai kelompok eksklusif pengadil dunia yang telah mencapai jumlah perlawanan antarabangsa tersebut, sekaligus mengharumkan nama Malaysia di persada hoki antarabangsa.