Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal tekad menjadi salah seorang tonggak penyerang skuad Speedy Tigers dibawah kendalian Sarjit Singh.

Status sebagai penjaring terbanyak Liga Hoki Malaysia (MHL) musim ini dengan 32 gol, Azrai Aizad berjaya memikat ketua jurulatih kebangsaan untuk kekal dalam barisan 30 pemain dan meletakkan harapan untuk berada dalam skuad terakhir 18 pemain ke Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) 2024.

Azrai Aizad atau lebih mesra disapa ‘Boy’ mengakui prestasinya yang berada ditahap sekarang antara faktornya adalah beraksi di sisi penyerang sensasi Faizal Saari menyebabkan dia cepat menyesuaikan diri bersama pasukan ketika kejohanan PSAS 2019.

“Saya sentiasa berusaha keras dan memberi segalanya dalam latihan bagi merebut tempat dalam 18 terbaik. Semua pemain turut melakukan perkara sama dan persaingan sihat untuk kami.

“Terpilih atau tidak semuanya terpulang kepada jurulatih (Sarjit) dalam membentuk pasukan terbaik bagi menghadapi Piala Sultan Azlan Shah (Mei ini).

“Memang (Faizal dianggap sebagai idola sejak dari kecil), dia banyak membantu saya dulu, saya memang sudah lama menjadikan corak permainan Faizal sebagai ikutan, jadi ia sedikit sebanyak membantu saya menyesuaikan diri sehingga sekarang,” katanya.

Bagi Sarjit, Azrai Aizad merupakan pemain yang bagus dan mampu menjadi permata berharga buat skuad kebangsaan pada masa akan datang.

“Dia (Azrai) pemain yang amat berbakat. Saya harap Azrai, jika boleh menunjukkan prestasi yang lebih memberangsangkan berbanding di liga.

“Pada pandangan saya, Azrai seorang yang pemain berusaha keras dalam mencapai impiannya. Pemain semuda itu dengan bakat dia meledak gol, saya pasti dia menjadi tonggak utama untuk masa depan Speedy Tigers,” ujar Sarjit.

Kemampuan Azrai Aizad dalam menyempurnakan peluang bukan perkara asing dalam kancah hoki negara pada ketika ini susulan dia merupakan antara nama yang sering mendapat perhatian kepada bekas pengendali skuad negara, A.Arul Selvaraj.

Tags: