Azrul Effendy Bistamam bukan nama asing dalam arena hoki negara kerana beliau merupakan seorang pemain dan juga jurulatih.
Kerjaya Azrul sebagai jurulatih bermula pada tahun 2010 dengan menjadi penolong jurulatih pasukan hoki Sukma Melaka sebelum ‘naik pangkat’ kepada ketua jurulatih pada 2014 bersama pasukan berkenaan.
Selepas hampir 11 tahun dalam bidang kejurulatihan, Azrul mendapat perhatian pasukan hoki negara dan dilantik menjadi penolong ketua jurulatih skuad hoki lelaki senior kebangsaan bermula 2021 hingga sekarang.
Disebalik kejayaan karier yang dikecapi sekarang, banyak pengorban perlu dilakukan Azrul untuk berada ditahap ini dan antaranya terpaksa berjauhan dengan keluarga selain sanggup menempuh perjalanan sejauh 298 kilometer(km) setiap minggu dari Kuala Lumpur (KL) ke Melaka.
Begitupun, Azrul bersyukur kerana sejak melangsungkan perkahwinan pada tahun 2007 dan mula berjauhan bersama keluarga, isterinya, Fazila Ahmad menjadi individu yang sangat memahami dengan kerjayanya.
“Saya menetap di KL dan akan pulang ke Melaka setiap minggu apabila ada cuti atau tiada sesi latihan. Itu rutin dilakukan hingga kini.
“Saya mula berjauhan dengan keluarga sejak 2007 iaitu semasa berkahwin lagi dan ketika itu masih menjadi pemain.
“Alhamdulillah…syukur sebab isteri memahami kerjaya saya dan sentiasa memberi sokongan penuh kepada saya,” katanya yang kini memiliki tiga orang anak iaitu seorang lelaki dan dua perempuan.
Azrul yang juga ketua jurulatih pasukan Maybank, kini memiliki misi penting bersama ketua jurulatih Speedy Tigers, Sarjit Singh dalam membentuk ‘wajah baharu’ Skuad Hoki Senior Lelaki Kebangsaan.
Ujian pertama bakal dihadapi beliau adalah menyediakan pasukan terbaik bagi meghadapi kempen Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh pada 4 hingga 11 Mei nanti.
Ketika ditanya mengenai persiapan menjelang Hari Raya Aidilfitri minggu depan, Azrul mengakui telah membuat persediaan lebih awal.
“Persiapan untuk baju semua telah buat dari awal Ramadan tempoh hari untuk sekeluarga dan selebihnya mungkin pada hari cuti pada minggu ini.
“Juadah yang menjadi menu wajib setiap kali menyambut raya semestinya lemang dan juga rendang daging serta laksa,” jelasnya.