Bangkit Tiga Kali, Speedy Tigers Terlepas Peluang Kongsi Mata Dengan India

Malaysia melakukan kebangkitan tiga kali dan berpeluang meraih mata serta mengekalkan rekod tanpa kalah dalam kempen Piala Sultan Azlan Shah 2025 edisi ke-31, namun gol penalti stroke India tujuh minit penghujung perlawanan memadamkan harapan Speedy Tigers meraih sekurang-kurangnya satu mata.

 

Pada aksi ketiga pusingan ’round robin’ itu, skuad hoki lelaki kebangsaan memberi tentangan sengit sebelum tewas tipis 3-4 kepada India di Stadium Sultan Azlan Shah, Ipoh, Perak, hari ini.

 

Turun dengan misi memburu kemenangan kedua, Malaysia dikejutkan dengan jaringan awal India pada minit ke-7 menerusi gol padang Karthi Selvam namun Speedy Tigers pantas menyamakan kedudukan selepas Faisal Saari menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-13.

 

India yang berada di kedudukan No.7 dunia itu, sekali lagi mendahului perlawanan hasil gol padang Sukhjeet Singh pada minit ke-21 namun Malaysia bangkit mengikat kedudukan menjadi 2-2 merusi jaringan padang Mohd Fitri Saari pada minit ke-36.

 

Tiga minit kemudian, Speedy Tigers yang berada di kedudukan 13 dunia, dibolosi buat kali ketiga menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan Amit Rohidas.

 

Gol itu tidak mengendurkan semangat pasukan negara untuk terus berjuang dan hasilnya mereka kembali menyamakan kedudukan menjadi 3-3 pada minit ke-45 menerusi ledakan Kapten Malaysia, Muhammad Marhan Mohd Jalil yang menyudahkan gerakan pukulan sudut penalti.

 

Ketika perlawanan seakan berkesudahan dengan keputusan seri, India dihadiahkan penalti stroke dan peluang itu disudahkan oleh Sanjay Rana untuk memastikan kemenangan berpihak kepada skuad Men in Blue itu.

 

Pengendali Speedy Tigers, Sarjit Singh memuji semangat juang tinggi yang ditunjukkan anak buahnya sepanjang perlawanan dan hampir mencuri satu mata.

 

Jelasnya, pukulan penalti dilakukan pemain-pemainnya pada perlawanan ini lebih baik dan ia merupakan satu perkembangan positif namun kesilapan memberi penalti stroke kepada India menyebabkan Speedy Tigers kehilangan mata.

 

“Perlawanan sengit, dan saya bangga dengan karakter pemain ketika bangkit mengejar. Cuma kesilapan pada stroke merugikan kami dan itu perlu diperbaiki segera.

 

“PC (Pukulan sudut penalti) kami lebih baik dan berjaya hasilkan gol, ia satu perkembangan positif. Namun menukarkan peluang gol kepada jaringan masih boleh ditingkatkan.

 

“Esok kami jangkakan satu lagi aksi intensiti tinggi. Kami perlu lebih kemas dalam transisi dan kekal fokus 60 minit untuk elak kesilapan yang akan menghukum kami,” katanya selepas perlawanan.

 

Esok jam 6 petang, Malaysia akan berdepan Belgium yang berada di kedudukan ke-3 dunia, malah pasukan itu menduduki ranking paling tinggi berbanding lima pasukan lain yang bertanding di kejohanan berprestij ini.