Barisan Kejurulatihan Skuad Hoki Wanita Kebangsaan Dapat Gambaran Bentuk Skuad Terkuat

Jurulatih hoki wanita negara, Nasihin Nubli Ibrahim mengakui aksi persahabatan menentang Afrika Selatan memberi gambaran kepada beliau dan barisan kejurulatihan untuk membentuk skuad hoki wanita negara yang terbaik.

 

Jelasnya, perlawanan yang berakhir minggu lalu menyaksikan skuad negara mencatat tiga keputusan tewas dan menang sekali.

 

Namun, keputusan bukan menjadi objektif sebenar kerana semua sedia maklum Afrika Selatan adalah pasukan yang beraksi di Sukan Olimpik Paris. Apa paling penting adalah para pemain meraih pengalaman cukup berharga.

 

“Secara keseluruhannya kami jurulatih merasa puas hati setelah berakhirnya siri perlawanana persahabatan menentang pasukan Afrika Selatan.

 

“Ini kerana selain ia menjadi platform pemilihan pemain untuk skuad utama, ia juga memberikan peluang kepada kami untuk melihat kekuatan serta penambahbaikan dan juga mencuba pelbagai struktur permainan serta objektif untuk bermain dengan pasukan berkualiti Antarabangsa diawal tahun ini berhasil.

 

“Pasukan Afrika Selatan yang kali terakhir kami lihat beraksi di Sukan Olimpik 2024 Paris membariskan 6 pemain Olimpik, 11 pemain berpengalaman diperingkat Antarabangsa serta 3 pemain baru. Mereka juga dalam proses persiapan untuk Kejohanan Piala Negara-Negara 2, di Poland pada bulan Jun tahun ini,” katanya.

 

Dalam perlawanan persahabatan itu,  aksi pertama yang berlangsung pada 28 Februari menyaksikan, anak buah Nasihin tewas 1-2 kepada Afrika Selatan, diikuti kalah 1-6 (1 Mac), disusuli tewas 2-3 (3 Mac) namun berjaya menamatkan aksi keempat dengan kemenangan 2-1.

 

Berdasarkan pengamatan barisan kejurulatihan, terdapat beberapa aspek yang perlu diperbaiki serta ditingkatkan antaranya kekuatan fizikal, tahap kecergasan, teknikal dan mentaliti.

 

Katanya, setiap pemain perlu ada inisiatif tambahan dalam meningkatkan kemampuan diri sendiri dengan tidak hanya bergantung kepada sesi latihan sahaja.

 

“Beberapa perkara yang perlu diperbaiki oleh pasukan kebangsaan adalah tahap kekuatan dan kecergasan, teknikal hoki (‘ball receiving, passing, scoring, eliminating, tackling, goalkeeping’) dan tahap mentaliti ‘fighter’ atau daya ketahanan diri.

 

“Pemain-pemain juga telah diingatkan untuk sentiasa menjaga tahap stamina mereka disamping perlu disiplin dan rajin berlatih teknik hoki secara individu.

 

“Ini juga adalah cara terbaik dan cepat untuk maju disamping menunggu untuk berlatih bersama pasukan. Mereka perlu belajar dari pemain-pemain antarabangsa negara-negara lain,” jelasnya.

 

Tahun ini, ada beberapa kejohanan penting yang akan diharungi skuad wanita kebangsaan iaitu Piala Dunia Remaja, Piala Negara-Negara, Piala Asian Wanita dan Sukan SEA 2025.

 

“Beberapa kejohanan penting akan dilalui tahun ini seperti Piala Negara-Negara 2, Piala Asia Wanita dan Sukan SEA. Termasuk juga kejohanan yang paling penting iaitu kejohanan Piala Dunia Remaja kerana kami ada ramai pemain muda yang dijangka akan berada dalam pasukan utama.

 

“Kami akan menurunkan majoriti pemain terbaik disetiap kejohanan yang akan kami sertai. Pemain-pemain yang menyerlah di liga (TNB MHL2025) juga telah diberi peluang untuk sesi pemilihan ini dan dijangka juga akan memantapkan pasukan Hoki Kebangsaan.

 

“Gabungan pemain berpengalaman dan baru akan lebih memantapkan lagi pasukan. Maka bantuan rakan-rakan jurulatih saya dan sokongan dari KHM (Konfederasi Hoki Malaysia), ISN (Institut Sukan Negara) dan MSN (Majlis Sukan Negara) adalah sangat diperlukan untuk membina pasukan yang berkualiti Antarabangsa,” ujarnya.