SSBJ Juniors membuktikan usia muda bukanlah penghalang untuk mereka merangkul kejuaraan Divisyen 2, TNB Liga Hoki Remaja Malaysia (TNB MJHL) musim ini.
Pasukan yang dibarisi majoriti pemain dalam lingkungan umur 15 dan 16 tahun itu merangkul gelaran berkenaan dengan penuh dramatik menewaskan PPHT Thunderbolts 4-3 menerusi penentuan penalti shoot-out
Ia selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2 dalam tempoh 60 minit sebenar aksi final yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil malam tadi.
Ketua jurulatih SSBJ Juniors, Che Mohd Nasa’i Che Ramli amat berbangga dengan pencapaian anak-anak buahnya kerana bukan sahaja mencapai objektif mara ke Divisyen 1, malah turut bergelar juara Divisyen 2 musim ini.
“Alhamdulillah kita berjaya capai sasaran. Memang saya rasa sangat terharu dengan kerja keras para pemain di atas padang kerana mereka berjuang habis-habisan pada malam ini.
“Mereka buktikan walaupun umur masih muda tetapi mereka mempunyai kekuatan untuk bermain sebagai satu pasukan yang baik. Sekarang masa untuk meraikan sebelum kami fokus kepada aksi Piala TNB,” katanya.
Dua gol SSBJ Juniors dijaringkan Mirza Hilman Mohd Kamaruzaman dan Muhammad Faris Zakwan Mohammed, manakala dua jaringan PPHT dihasilkan oleh Muhammad Qasif Farhan Zamri serta Wan Putera Harits Irfan Abi Rifdi.
Penjaga gol SSBJ, Fayyadh Nail Fauzi muncul wira pasukan apabila menyelamatkan penalti shoot-out terakhir PPHT Thunderbolts yang diambil oleh Qasih Farhan.
Sementara itu, ketua jurulatih PPHT Thunderbolts, Muhammad Syukuri Mazlan tidak terkilan, sebaliknya menganggap anak-anak buahnya tewas dengan cara yang penuh bermaruah dalam aksi final tersebut.
“Kami dua kali berjaya bangkit dalam perlawanan ini dan memberikan tentangan sehabis baik kepada SSBJ Juniors. Namun, saya tak kecewa kerana kami sebenarnya sudah mencapai matlamat sebenar.
“Sasaran kami mahu layak ke Divisyen 1 setelah sekian lama dan akhirnya ia tercapai musim ini. Kalau kami menang final ini, ia adalah bonus buat pasukan,” jelasnya.
Tempat ketiga Divisyen 2 TNB MJHL musim ini pula dimenangi oleh Anderson@RASHA yang menewaskan SSN Perlis Thunderbolts 4-2 dalam aksi penentuan tempat ketiga dan keempat.









