Belanda Dalam Kelas Tersendiri, Malaysia Tewas Dengan Jaringan Besar

Skuad Hoki Remaja Wanita Negara terpaksa menerima hakikat jurang antara mereka dengan Belanda terlalu jauh apabila tewas 0-13 pada juara bertahan itu, di Piala Dunia Remaja Wanita 2025, hari ini.

 

Begitupun, daripada sudut positif, ia memberi satu pengalaman cukup berharga kepada barisan pemain muda negara dalam meningkatkan prestasi pasukan dan juga individu.

 

Dalam perlawanan ketiga Kumpulan A yang dikuasai sepenuhnya oleh Belanda, Iris de Kemp muncul sebagai penjaring terbanyak dengan hatrik.

 

Rakan sepasukannya, Noor van den Nieuwenhof, Maud van den Heuvel, Mea de Vries dan Imke Verstraeten turut menyumbang dua gol masing-masing.

 

Guusje Moes dan Trijintje Beljaars melengkapkan senarai penjaring dengan satu gol setiap seorang.

 

Belanda mempamerkan intensiti tinggi, serangan bertali-arus serta ketepatan penyudah yang sukar ditandingi oleh Young Tigress, yang jarang diberikan ruang untuk memasuki kawasan 25 lawan.

 

Pengendali Young Tigress, Lailin Abu Hassan, mengakui kekuatan lawan terlalu jauh di hadapan namun tetap memuji usaha anak buahnya untuk cuba memberi tentangan.

 

“Seperti kita tahu, realitinya jurang antara pasukan kita dan Belanda sangat jauh. Kita cuba memberi tandingan dengan segala usaha pemain, tetapi jarang dapat masuk ke kawasan 25 Belanda.

 

“Lawan sangat bagus dari segi serangan, dan pemain kita tidak dapat menandingi kepantasan serta kekuatan fizikal mereka, terutama ketika mereka melakukan tekanan penuh,” jelasnya.

 

Lailin turut menyifatkan kesilapan memberi pukulan sudut penalti (PC) kepada Belanda sebagai antara punca utama gol mudah diperoleh lawan memandangkan mereka amat berbahaya dalam situasi itu.

 

“Pemain-pemain berusaha untuk mengekang pasukan lawan, tetapi tidak terdaya menahan asakan mereka. Kita tahu mereka pasukan nombor satu dunia dan juara edisi lalu,” ujarnya.

 

Mengulas mengenai perlawanan seterusnya, Lailin berkata mereka perlu menunggu sehingga tamatnya pusingan kumpulan untuk mengetahui lawan di pusingan seterusnya.

 

“Saya berharap pemain akan lebih fokus dan agresif, mempunyai mentaliti untuk menang, serta kekalkan semangat berpasukan yang kuat.

 

“Pemain perlu melakukan lebih serangan dan tidak hanya tertumpu kepada bertahan, selain mengurangkan pemberian pukulan sudut penalti kepada pihak lawan,” katanya.

 

Walaupun kekalahan besar ini sukar diterima, pengalaman menentang pasukan terbaik dunia pastinya memberi pelajaran berharga kepada Young Tigress dalam memperbaiki prestasi menjelang aksi seterusnya di Piala Dunia Remaja Wanita 2025.