Pasukan wanita DBKL HT meneruskan dominasi selepas menumpaskan Melaka Old Ladies HT (MOHC) buat kali ketiga berturut-turut pada perlawanan akhir Liga Hoki Dalam Dewan (MIHL) 2024 di Pusat Sukan IOI Mall, Putrajaya, hari ini.

Skuad bimbingan Nuraini Abdul Rashid itu melakar kemenangan 4-2 dan sekali gus, menafikan hajat MOHC yang mengintai gelaran sulung selepas dua edisi lalu mereka kecundang di tangan pencabar sama.

DBKL yang mempamerkan aksi tersusun melancarkan serangan sejak awal permainan lagi dan usaha keras mereka itu akhirnya berhasil apabila Iren Hussin menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-12 untuk mendahului 1-0.

Juara bertahan tersebut yang terus mengasak ke kubu lawan menjarakkan kedudukan kepada 2-0, selepas gerakan pantas yang dilancarkan ke pintu gol MOHC berjaya disudahkan Surizan Awang Noh hanya berselang dua minit selepas itu.

Kealpaan benteng pertahanan MOHC dihukum lagi pada minit ke-18 dan kali ini gol ketiga DBKL diledakkan oleh tonggak skuad kebangsaan, Wan Norfaiezah Md Saiuti yang bijak menguis kemas bola ke gawang pasukan lawan.

MOHC yang bagai tersentak dengan tiga gol DBKL, berusaha bangkit untuk bermain lebih agresif dan kerja keras itu akhirnya menjelma apabila Norshafiqha Ishak menyumbat gol sulung pasukannya pada minit ke-30.

Skuad bimbingan Sharifah Syahmi Nazihah Syed Mohd Amin itu semakin bernafsu memburu jaringan dan Liyana Qilah meledakkan gol pada minit ke-34 untuk merapatkan jurang kepada 2-3.

Bagaimanapun, DBKL yang tidak rela gelaran terlepas daripada genggaman, kembali menjarakkan kedudukan kepada 4-2 selepas pemain berpengalaman, Fazilla Sylvester Silin menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-36.

Fazila yang merupakan tonggak Malaysian Tigress melahirkan rasa syukurnya di atas kejayaan DBKL menjulang gelaran buat kali ketiga berturut-turut.

“Kami bermain baik dan aksi berdisplin yang dipamerkan DBKL menjadi kunci kepada kejayaan kami.

“Apa yang paling penting ialah kami berjaya mematuhi arahan jurulatih dan menggunakan kesemua peluang yang ada,” katanya ketika ditemu bual selepas perlawanan berakhir.

Ketika ditanya mengenai penganjuran MIHL yang telahpun memasuki edisi ketiga, anak jati Sarawak itu memberitahu, untuk kejohanan tahun ini, setiap pasukan yang bertanding tidak kurang hebatnya.

“Melaka juga telah bermain dengan sangat baik dan saya berharap pada liga akan datang kualiti permainan yang terus meningkat,” ujarnya.

Tags: