Pasukan wanita DBKL HT berada dilandasan tepat mempertahankan gelaran yang mereka menangi pada edisi 2022 selepas mara ke perlawanan akhir Liga Hoki Dalam Dewan (MIHL) 2024 yang berlangsung  di Pusat Sukan IOI Mall, Putrajaya, esok.

Pertemuan antara DBKL HT dan Malacca Old Ladies HC (MOHC) di pentas final itu akan menyaksikan ianya merupakan pentas final ketiga berturut-turut buat kedua-dua pasukan di mana dua edisi yang lalu, DBKL HT muncul selaku juara.

Pada separuh akhir, hari ini, Skuad bimbingan Nuraini Abdul Rashid itu menundukkan BNHC SMZN dengan keputusan 3-1.

DBKL HT mendahului BNHC SMZN 1-0 seawal minit ke-5 menerusi gol padang yang disempurnakan oleh Iren Hussin.

Tidak perlu menunggu lama, hanya berselang lima minit selepas itu gol kedua DBKL HT dijelmakan melalui Surizan Awang Noh juga melalui jaringan padang.

Pemain sama menjadi duri dalam daging buat BNHC SMZN, apabila Surizan menyempurnakan pukulan sudut penalti untuk jaringan ketiga DBKL HT pada minit ke-35 bagi meletakkan juara bertahan itu mendahului selesa 3-0.

Nurafwani Mohamad menjaringkan gol tunggal buat BNHC SMZN yang diterajui jurulatih, Amnuruddin pada minit ke-39.

Pada perlawanan akhir, DBKL HT akan beraksi menentang Malacca Old Ladies HC (MOHC) yang membelasah Malaysia University 5-2 dalam satu lagi separuh akhir.

MOHC yang dibimbing Sharifah Syahmi Nazihah Syed Mohd Amin mendahului 2-0 menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan dengan baik oleh ketua pasukan, Nur Aisyah Yaacob pada minit keenam dan kesembilan.

Namun begitu, Malaysia Universiti kembali mengikat MOHC 2-2, hasil gol padang yang disumbang Nursyaza Afiqah Safawi (minit ke-15) dan kapten, Nor Asfarina Isahyifiqa Isahhidun (minit ke-20).

Tersentak dengan jaringan penyamaan tersebut, MOHC bangkit menjarakkan kembali kedudukan melalui Nur Syafiqah Mohd Zain yang menyempurnakan dua pukulan sudut penalti pada minit ke-30 dan ke-32.

Walaupun mendahului selesa 4-2, MOHC nyata belum puas dengan ledakkan jaringan apabila giliran Liyana Qilah Mohd Sepawi menyumbat gol kelima pasukannya pada minit ke-40 hasil jaringan padang sekaligus menutup perlawanan dengan kemenangan 5-2.

Tags: