DEMI CINTA HOKI NEGARA

 KIRA-kira 34 tahun lalu, sekumpulan anak muda yang bersemangat waja dikerah dalam latihan memegang kuat kayu hoki dan memberi fokus 100 peratus kepada cabaran 1989 Piala Dunia Remaja di laman sendiri  di Ipoh.

Segala tugasan dan rutin harian mereka hanya berkisar kepada persiapan menghadapi kejohanan amat penting itu ketika maruah menjadi pertaruhan besar selaku tuan rumah buat kali kedua.

Sebelum kejohanan pentas global itu bermula di Ipoh, pemain terbaik yang dipilih dari seluruh negara dikumpul dan diletakkan di satu tempat khas di Kuala Lumpur menjalani latihan pusat kebangsaan bagi tempoh hampir empat tahun sejak 1986 bagi memastikan program latihan padu
dilakar itu bergerak lancar.

Gambar kenangan Charles kanan bersama bekas Timbalan Presiden Persekutuan Hoki Malaysia kini Tan Sri P Alagendra.

Tugasan harian mereka adalah bangun awal pagi, bersarapan dan kemudian turun ke gelanggang latihan. Selepas berehat dan makan tengah hari, kapten pasukan, Charles Aitken David akan memimpin rakan sepasukan turun semula berlatih mengikut jadual yang diatur oleh ketua jurulatih, Yang Siow Meng dan penolongnya, Balbeer Singh, Teng Cheng Leong dan Mohamed Sayuti.

Barisan pengendali pasukan ini pun bukan calang-calang orangnya. Intipati utama diserapkan oleh mereka kepada anak buah adalah disiplin tinggi   – sesuatu yang mereka sendiri melalui ketika mewakili skuad negara atau negeri.

Info ringkas pemain negara yang terpilih ke skuad terakhir ke Piala Dunia Remaja di Ipoh.

Anggota pasukan pada edisi 1989 itu, termasuk Datuk Mirnawan Nawawi – yang muncul pemain paling muda dalam skuad pada usia 18 tahun. Dia bersama Charles, R Shankar dan S Suriaghandi kemudian menjadi pemain tonggak skuad senior negara. Seorang lagi pemain yang kita kenali adalah Ariffin Ghani yang kini memegang jawatan baru selaku Timbalan Ketua Pengarah (Sektor Pembangunan Sukan), Majlis Sukan Negara (MSN).

Begitu juga bekas ketua jurulatih negara, Muhammad Dharma Raj Abdullah, yang kini membimbing skuad hoki Indonesia, sejak tahun lalu dan bekas penjaga gol utama negara, M Nadarajan.

Pemain lain melengkapkan barisan terkuat pada ketika itu adalah Hamdan Hamzah, R. Devendran,
Kerpal Singh, Atul Kumar, Mohamed Rafidi Idris, Nor Azmi Abu Samah, Lee Sien Lam, Eric Zacharias dan V. Vasuthevan.

Inilah pasukan yang menyudahkan cabaran di tempat ke-6 di Stadium Sultan Azlan Shah, Ipoh.

Penghargaan harus diberi walaupun pemain kecewa gagal menepati matlamat untuk layak ke separuh akhir sekali lagi – mengulangi pencapaian skuad remaja negara pada edisi 1982 di Kuala
Lumpur.

Apapun, segala pengorbanan dan keringat dicurahkan itu pasti dikenang mereka selepas melalui satu tempoh penuh dengan pelbagai memori – saat perit dan gembira bersama-sama sebagai satu unit padu sehingga akhir perjuangan.

Mengimbas kembali, pengangkutan utama bagi mereka ketika itu adalah menaiki bas sekolah yang disewa Persekutuan Hoki Malaysia (kini Konfederasi Hoki Malaysia) dari Hotel Grand Pacific di Jalan Tun Ismail ke gelanggang latihan, khasnya di Stadium Tun Abdul Razak di Jalan Duta, Kuala Lumpur.

Mirnawan

Mirnawan atau lebih popular dengan jolokan ‘The Boss’ juga masih ingat nama pemandu bas yang dikenali Abang Aziz. Dia akan membawa pasukan dari tempat penginapan ke markas latihan setiap hari dan dianggap salah seorang daripada anggota keluarga mereka dalam pasukan.

Charles bersama Shankar adalah dua pemain yang sudah pun beraksi untuk skuad senior kebangsaan dan memberi kelebihan kerana pengalaman mereka dapat membantu membimbing rakan sepasukan lain menyahut cabaran di pentas saingan global itu.

Kapten pasukan yang berasal dari Ipoh adalah pemain perancang bahagian tengah yang sentiasa tenang dan mampu berfikir dalam situasi tertekan. Perwatakan seumpama ini diperlukan pasukan mengerti cabaran daripada pihak lawan yang cukup bersedia kali ini.

Skuad negara yang terpilih menyahut cabaran dalam Piala Dunia Remaja yang diadakan di Stadium Sultan Azlan Shah di Ipoh pada Ogos 1989. – Gambar ihsan Charles David.

Charles juga menceritakan betapa semangat sepasukan mereka amat tinggi mahu berjaya dalam Piala Dunia Remaja dan elemen ini mengatasi segala-galanya.

Soal wang atau imbuhan bukan sesuatu yang diharapkan sangat oleh setiap pemain asalkan dapat bermain untuk pasukan negara. Ia satu penghormatan bagi diri dan juga keluarga mereka.

Dia menyebut elaun RM10 sehari yang diberi pengurusan pasukan mungkin kecil tapi mereka tidak merungut. Charles dan rakan-rakan beranggapan maruah pasukan negara lebih penting daripada segala-galanya.

“Secara terus terang kami bermain bukan untuk wang tapi demi pasukan negara dan cintakan hoki. Kami hargai elaun diterima yang boleh bantu kami pada tempoh itu dan berjimat cermat menggunakannya.

“Lagipun, kami diberi makan dan minum di hotel. Kami tidak ada masalah pengangkutan atau pun perlu melakukan pembayaran lain. Fokus kami adalah berlatih gigih dan memberi yang terbaik,” katanya yang kini sudah mencecah usia 55 tahun.

Ketika skuad remaja mengadakan latihan dan perlawanan persahabatan di luar negara, khasnya di Eropah, Charles memberitahu mereka akan diberi sekitar RM300 atau RM400 sebagai duit poket tanpa mengira negara mana destinasi mereka.

“Apa yang pasti kami sentiasa akan bersama dan bersifat ceria tanpa menyimpan apa-apa perasaan kurang puas hati. Apa yang berlegar dalam minda kami adalah bermain hoki dengan ikhlas dan bantu pasukan negara dalam kempen Piala Dunia remaja di tempat sendiri,” katanya yang kali
terakhir mewakili skuad senior negara di Sukan Olimpik 1996 di Atlanta.

Dia juga adalah anggota yang membantu skuad negara memenangi pingat gangsa Sukan Asia di Beijing pada 1990.

Charles sekarang bekerja dengan Bank OCBC sejak hampir 20 tahun lalu dan memegang jawatan Naib Presiden di bahagian Compliance, MIS Analytics & Planning di instituasi kewangan berkenaan.

Dia turut menceritakan bimbingan dan inspirasi disuntik oleh ketua jurulatih, Siow Meng yang rata-rata lebih berpusat kepada asas permainan hoki baik – iaitu memukul, menolak dan menahan bola dengan kemas serta memantapkan aspek melakukan hantaran-hantaran tepat ketika menjana
serangan. Antara arahan lain adalah mengurangkan kesilapan baik ketika bertahan atau pun menyerang.

Faktor ini penting ketika pasukan lain, khasnya dari Eropah atau Argentina yang kurang mengambil serius pada tiga edisipertama (1979, 1982 dan 1985) hadir dengan kekuatan lebih padu kali ini untuk memburu mahkota kejuaraan.

“Saya dan rakan-rakan gigih berlatih setiap hari cuba belajar dan memperbaiki kesilapan kami. Kami ikut arahan jurulatih sebaik-baiknya Segalanya juga untuk kebaikan diri jika terpilih ke pasukan senior nanti,” katanya yang menyumbang satu gol menerusi penalti strok dalam Piala Dunia Remaja ketika tewas 2-3 kepada Argentina dalam perlawanan pertama Kumpulan A pada 8 Ogos, tahun berkenaan.

Skuad remaja kita juga beraksi dalam Liga Hoki Malaysia sesi 1988/1989 sebagai pasukan undangan bagi memantapkan diri sebelum mengalas misi besar ke Ipoh. Mereka tidak menghampakan Siow Ming dan pihak pengurusan apabila mendapat status naib juara dalam saingan Liga dan tempat
ketiga dalam Piala Keseluruhan.

Mirnawan, 52, turut menyimpan pelbagai kenangan bersama skuad remaja 1989 yang pada pengamatannya menjadi titik tolak dalam kerjaya hoki antarabangsa sehingga menjadi pemain tonggak skuad senior negara.

Dia juga masih ingat betapa mesra sifat persahabatan di kalangan rakan sepasukan ketika itu. Mereka bukan hanya berkomunikasi ketika di padang sahaja tetapi kerap bergaul di luar padang dan keluar makan atau minum bersama jika ada masa terluang.

“Hotel Grand Pacific yang kami menginap sudah menjadi rumah kedua bagi kami. Di sinilah kami berkenalan lebih rapat sesama sendiri. Jika tidak ada latihan, saya masih ingat kami akan berbual di sebuah warung makanan tepi jalan berhampiran tempat penginapan kami. Pemiliknya bernama Maniam dan ada antara kami akan masukkan dalam buku 555 jika kesempitan wang dan membayarnya kemudian,” katanya secara berseloroh.

Pemain berasal dari Banda Kaba, Melaka itu jelas memiliki bakat istimewa sehingga dinilai sebagai ‘mutiara baru’ hoki negara. Tetapi dia digugurkan daripada skuad pelatih apabila latihan pusat peringkat awal dimulakan pada 1986. Lagipun, dia baru berusia 15 tahun dan perlu bersaing dengan pemain lebih senior dan berpengalaman.

“Saya hanya bersama pasukan remaja untuk satu tempoh singkat sebelum digugurkan kerana faktor usia. Saya juga terlepas peluang untuk bersama rakan lain dalam siri Jelajah Eropah.

“Apa pun, detik gembira bagi saya kembali kerana dipanggil menyertai semula kem latihan pusat pada hujung 1988. Saya diberitahu prestasi baik ditunjukkan dalam kejohanan bawah 18 tahun kebangsaan mendorong pengurusan pasukan remaja memanggil saya,” kata The Boss yang kini memegang jawatan pengurus pasukan skuad senior negara.

Sejak detik itu, penyerang serba lincah ini tidak lagi menoleh ke belakang dan bekerja gigih mencari cengkaman kuat dalam barisan kesebelasan skuad remaja di Ipoh.

Dia juga menjaringkan gol kemenangan ketika menewaskan Sepanyol 3-2 dalam perlawanan klasifikasi tempat kelima hingga kelapan pada 17 Ogos. Ariffin Ghani turut menyerlah dengan sumbangan dua gol dalam perlawanan sama. Tapi impian pasukan tuan rumah mencari kedudukan terbaik di tempat kelima musnah apabila tewas sekali lagi kepada Argentina 3-0.

Sepanjang kerjayanya, Mirnawan beraksi dalam tiga Sukan Olimpik iaitu Barcelona 1992, Atlanta 1996 dan Sydney 2000, tiga Sukan Asia (Beijing, Hiroshima 1994 dan Bangkok 1998), Trofi Juara-Juara dan dua Piala Dunia di Utrecht 1998 dan Kuala Lumpur 2002. Dalam penampilan
Olimpik terakhirnya, dia dipilih selaku Pembawa Bendera Kontinjen Malaysia di upacara pembukaan Sukan Olimpik Sydney 2000 sebelum bersara pada 2002 selepas memperoleh 327 kaps.

Selain hoki, penyerang prolifik ini juga memiliki bakat dalam acara bola sepak dan renang dan pernah mewakili sekolah Melaka di peringkat  kebangsaan.

HOKI PIALA DUNIA REMAJA 1989

TARIKH: 8 – 19 Ogos

TEMPAT: Stadium Sultan Azlan Shah, Ipoh, Malaysia

PENGURUS PASUKAN: Tan Sri Noordin Hassan

KETUA JURULATIH: Yang Siow Meng

PEN. JURULATIH: Balbeer Singh, Teng Cheng Leong, Mohamed SayutiSKUAD NEGARA: Hamdan Hamzah, M. Nadarajah, R. Devendran, Kerpal Singh, Atul Kumar, K. Dharmaraj, Charles Aitken David (C), Mohamed Rafidi
Idris, Nor Azmi Abu Samah, Mirnawan Nawawi, Lee Sien Lam, S. Suriaghandi, R. Shanker, Ariffin Abdul Ghani, Eric Zacharias, V. Vasuthevan.

JUMLAH PASUKAN: 12 (Malaysia (tuan rumah), Jerman Barat, Australia, Argentina, Belanda, Mesir, Pakistan, Korea Selatan, Sepanyol, England, Russia
(USSR), Amerika Syarikat

JUARA:         Jerman

NAIB JUARA: Australia

KETIGA:       Pakistan

KEEMPAT: Korea Selatan

(Nota: Malaysia menamatkan saingan di tempat ke-6)