Perak mengesahkan laluan ke separuh akhir dengan kemenangan yang cukup bergaya selepas membelasah Polis Diraja Malaysia (PDRM) 14-0 dalam aksi terakhir Kumpulan B pada Kejohanan TNB Piala Tun Abdul Razak di Stadium Hoki Johor, Taman Daya, Johor Bahru, semalam.
Apa yang lebih manis, kejayaan itu diukir dengan bantuan remaja orang asli dari suku kaum Semai, Edhazril Shamshul yang menjaringkan empat daripada 14 gol yang diledakkan Perak.
Edhazril yang merupakan pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan Gunung Rapat, Ipoh membuktikan dia juga mampu menjadi sehebat seniornya yang merupakan pemain Speedy Tigers, Muhamad Azrai Aizad Abu Kamal yang menyumbang lima gol.
Selain mereka berdua, turut berada dalam senarai penjaring gol untuk Perak adalah Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan yang menyumbat dua gol, manakala, Muhammad Luqman Hakim Mohammad Asri, Aiman Safwan Abdullah dan Saiful Sharil Saiful Bahri masing-masing menokok satu gol.
PDRM kehilangan tonggak, Muhammad Razie Rahim yang gagal mendapat pelepasan daripada majikannya serta beberapa pemain senior telah menyebabkan skuad bimbingan Megat Azrafiq Megat Termizi itu tempang apabila gagal mengutip sebarang mata dan menghuni kedudukan tercorot Kumpulan B.
Dibolosi sebanyak 47 kali dengan hanya lapan gol mampu diledakkan, Sang Saka Biru menjadi pasukan belasahan pada penampilan edisi kali ke-62 itu.
Tidak bersendirian mencatat rekod buruk, PDRM turut ditemani Singapura yang juga gagal memecah angka kosong dengan penampilan terakhir negara Temasek itu di peringkat kumpulan dibelasah tuan rumah, Johor 1-6.
Bagaimanapun, kekalahan PDRM 0-14 ditangan Perak bukanlah yang terburuk pada kejohanan itu, tetapi, sebaliknya ia menjadi milik Singapura yang dibelasah Pahang 0-18 dalam perlawanan pembukaan.
Singapura yang diterajui jurulatih, K. Vijayan memperoleh jaringan awal menerusi Kent Loo pada minit ke-9, namun, selepas itu, tuan rumah tanpa belas kasihan telah membenam pasukan dari negara tetangga itu dengan bedilan enam gol.
Kemenangan itu menyaksikan Johor menjuarai Kumpulan A setelah mengumpul 16 mata, diikuti Pahang di tempat kedua dengan 15 mata dan Kuala Lumpur menghuni tangga ketiga mengutip 11 mata.
Pahang mengiringi Johor ke separuh akhir selepas menang 3-0 ke atas Kuala Lumpur menerusi jaringan Syamil Azim Dzulkafly (minit ke-14) dan Muhammad Arif Syafie Ishak (minit ke-26, ke-50)
Sementara itu, dalam saingan Kumpulan B, Terengganu yang muncul pasukan pertama menempah slot ke separuh akhir, melengkapkan aksi mereka dengan mengalahkan Sabah 5-1.
Lima gol Terengganu disumbang oleh Muhammad Adam Haiqal Abdul Razak (minit ke-14), Mohamad Akhimullah Anuar Esook (minit ke-22) dan Faizal Saari yang mencipta hatrik (minit ke-20, ke-51, ke-60), manakala, gol tunggal Sabah dijaringkan Muhammad Saifuddin Azli (minit ke-30).
Skuad bimbingan, Asrul Hisyam Ahmad itu yang mencatat rekod enam kemenangan sempurna mengumpul 18 mata mengungguli Kumpulan B, diikuti Perak di tangga kedua dengan 13 mata dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menghuni tempat ketiga mengumpul 10 mata.
Pada separuh akhir, Jumaat ini, Johor akan menentang Perak, sementara, Terengganu bertemu Pahang dan semua perlawanan klasifikasi akan diadakan, hari ini.