Empat Pasukan Perempuan Lengkapkan Slot Separuh Akhir TNB MJHL 2024

Juara bertahan, SSTMI PKS Uniten, KL City – KLSS, Mutiara-MSSPP-PSHA-PKS Uniten, dan SMKSMAB/PPDKS/MSNK melengkapkan slot empat pasukan terbaik yang akan berentap di separuh akhir Kategori Perempuan, TNB Liga Hoki Remaja Malaysia (TNB MJHL) 2024 selepas menewaskan lawan masing-masing pada aksi suku akhir yang berlangsung hari ini.

Terdahulu perlawanan yang berlangsung pada jam 6:00 petang di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, Padang 1, menyaksikan SSTMI PKS Uniten tidak berdepan masalah untuk meraih kemenangan selesa 6-0 ke atas lawan mereka Akademi Hoki MBPJ.

Tiga gol gerakan padang diledak SSTMI PKS Uniten pada minit ke-19, ke-20 dan ke-22 menerusi jaringan Nur Shafika Mohd Sharuddin, Dayang Nur Kaiyisah Mohd Najmi dan Nur Adilya Dina Jajaindawan sebelum Nur Adilya Dina menjaringkan gol kedua peribadinya menerusi pukulan sudut penalti, seminit menuju penamat separuh masa pertama.

Minit ke-36, giliran Nurdini Batrisyia Mohd Ridzuan mencatat nama selaku penjaring dan menerusi gol pukulan sudut penalti pada minit ke-43, Nur Shafika Mohd Sharuddin memastikan gol kedua peribadinya membawa SSTMI PKS Uniten ke pentas separuh akhir.

Menanti SSTMI PKS Uniten di separuh akhir adalah KL City – KLSS yang meraih kemenangan 3-2 ke atas naib juara musim lalu, Pahang-SSNP-MSP menerusi penentuan shoot-out selepas perlawanan sebenar tamat dengan kedua-dua pasukan terikat seri 2-2.

Pengendali pasukan KL City- KLSS, Kannagi Arumugam memuji barisan pemainnya yang berjaya mencipta kejutan menyingkirkan finalist tahun lalu.

“Saya tidak menjangkakan perlawanan akan diheret hingga ke penentuan shoot-out kerana pasukan Pahang-SSNP-MSP mendahului kami sebanyak dua kali. Namun pemain-pemain KL City-KLSS tidak mengenal erti mengaku kalah dan menggandakan usaha mencari jaringan.

“Secara keseluruhan pemain bermain bermati-matian sehingga minit terakhir perlawanan dan pujian buat mereka yang melakukan kebangkitan hingga meraih kemenangan.

“Separuh akhir kami akan bertemu satu lagi pasukan pilihan dalam liga ini. Saya yakin pemain akan memberikan saingan yang hebat kepada lawan.

“Seperti yang semua sedia maklum, SSTMI PKS Uniten merupakan juara bertahan, oleh itu pemain perlu lebih berdisiplin di atas padang dan mengikut struktur serta taktikal yang dirancang pasukan dengan sebaiknya,” jelas beliau selepas tamat perlawanan.

Sementara itu jaringan tunggal Nurhanie Najwa Tarmizi menerusi gol padang pada minit ke-21 membawa Mutiara-MSSPP-PSHA-PKS Uniten ke separuh akhir selepas Southern / PHJ / MSNJ gagal untuk menidakkan jaringan tersebut.

Kemenangan 1-0 yang diraih Mutiara-MSSPP-PSHA-PKS Uniten ke atas Southern / PHJ / MSNJ itu menyaksikan mereka akan menentang SMKSMAB/PPDKS/MSNK yang mara ke separuh akhir menerusi kemenangan shoot-out 4-3 ke atas Negeri Sembilan – MSNS.

Perlawanan masa penuh menyaksikan Negeri Sembilan – MSNS dan SMKSMAB/PPDKS/MSNK terikat 1-1 sebelum aksi tersebut diheret ke penantuan shoot-out bagi mencari pemenang di mana SMKSMAB/PPDKS/MSNK berjaya menewaskan Negeri Sembilan – MSNS 4-2 pada penentuan tersebut.

Keputusan hari ini:

SSTMI PKS UNITEN 6-0 AKADEMI HOKI MBPJ

PAHANG-SSNP-MSP 2 (SHOOT OUT : 2-3) 2 KL CITY-KLSS

SOUTHERN / PHJ / MSNJ 0-1 MUTIARA-MSSPP-PSHA-PKS UNITEN

NEGERI SEMBILAN – MSNS 1 (SHOOT OUT : 2-4) 1 SMKSMAB/PPDKS/MSNK