Gabungan Pemain Muda Dan Berpengalaman Bawa Cabaran Speedy Tigress Di Poland

Barisan pemain muda dan berpengalaman menjadi taruhan kejurulatihan Pasukan Hoki Wanita Kebangsaan, Mohd Nasihin Nubli Ibrahim bagi membawa cabaran Malaysia di Kejohanan FIH Hoki Wanita Piala Negara-Negara 2, di Pusat Sukan Walcz, Poland.

 

Saingan kategori wanita yang dijadualkan berlangsung pada 16 hingga 22 Jun itu menyaksikan penyertaan lapan pasukan iaitu Malaysia, Perancis, Itali, Poland, Afrika Selatan, Uruguay, Wales dan Republik Czech.

 

Mohd Nasihin berkata proses pemilihan barisan pemain ini diambil kira dalam pelbagai aspek dan beberapa pemain berpengalaman turut disenaraikan bagi memberikan kestabilan serta keseimbangan dalam pasukan.

 

Jelasnya, lima pemain bawah 21 tahun turut dipilih ke Poland dengan tiga daripadanya boleh dikatakan masih baru di peringkat antarabangsa.

 

“Dalam proses pemilihan kali ini, barisan kejurulatihan telah mengambil kira pelbagai aspek. Antaranya termasuk prestasi semasa ketika sesi latihan, simulasi permainan, perlawanan persahabatan menentang Afrika Selatan, serta siri perlawanan ketika jelajah ke China.

 

“Namun yang paling utama, adalah kesesuaian pemain dengan sistem permainan pasukan. Beberapa pemain berpengalaman turut dipilih kerana keupayaan mereka memberikan kestabilan dan keseimbangan dalam skuad.

 

“Daripada lima pemain bawah 21 tahun Remaja yang telah dipilih untuk Piala Negara-Negara 2 ini, tiga diantara mereka yang dikira baru adalah antara berjaya menempatkan diri dalam skuad kali ini iaitu Nur Aisyah Che Musa, Zawiatul Akma, dan Zati Alyani.

 

“Walaupun masih baru di peringkat antarabangsa, mereka menunjukkan semangat tinggi, disiplin, dan kesungguhan untuk belajar. Ini merupakan platform penting untuk mereka menimba pengalaman dan berkembang sebagai pemain masa depan negara,” kata Mohd Nasihin.

 

Beliau berkata demikian dalam sidang media Pasukan Wanita Kebangsaan ke FIH Hoki Piala Negara-Negara 2 (Poland) dan memperkenalkan jersi terbaru pasukan wanita kebangsaan yang ditaja oleh Mizuno.

 

Skuad Hoki Wanita Kebangsaan akan membuka kempen saingan dengan berdepan tuan rumah, Poland pada 17 Jun, seterusnya menentang Afrika Selatan dan pada 19 Jun bertemu Uruguay.

 

Menurut Mohd Nasihin, kejohanan ini merupakan penampilan pertama skuad kebangsaan dan beliau berharap semua pemain dapat memanfaatkan peluang ini bagi menimba pengalaman sebanyak mungkin, selain memberi saingan sengit.

 

“Kejohanan ini merupakan penampilan pertama Malaysia dalam Nations Cup 2, dan juga kejohanan pertama bagi tahun 2025. Justeru itu, saya mengharapkan semua pemain dapat memanfaatkan peluang ini sepenuhnya.

 

“Fokus bukan semata-mata kepada keputusan, tetapi lebih kepada membina keyakinan, memahami tempo permainan di peringkat antarabangsa, dan terus belajar daripada setiap perlawanan. Yang penting, kita tampilkan daya saing dan peningkatan prestasi dalam setiap aksi,” jelasnya.

 

Pengendali berusia 50 tahun itu, turut mengambil kesempatan ini untuk merakam ucapan terima kasih kepada semua pihak yang sentiasa memberi sokongan padu kepada skuad hoki wanita negara.

 

Beliau mengakui beberapa pemain tonggak tidak dapat dibawa berikutan masalah kecederaan namun Mohd Nasihin tetap menaruh keyakinan tinggi dan menuntut para pemain memberi aksi terbaik serta berjuang habis-habisan demi mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa.

 

“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada semua penyokong yang sentiasa memberikan sokongan kepada skuad wanita negara. Usaha membina sebuah pasukan bertaraf antarabangsa memerlukan masa dan kesabaran, dan kami komited untuk terus bekerja ke arah itu.

 

“Kepada para pemain, ini adalah peluang yang amat besar. Jangan sia-siakan. Turun ke padang dengan semangat, disiplin, dan kepercayaan terhadap proses yang sedang dibina.

 

“Kita sedar beberapa tonggak utama seperti Nurmaizatul Syafi, Fatin Fatiah, dan Nur Iman Adawiyah tidak dapat bersama pasukan kali ini kerana kecederaan. Manakala Mia Sofea, Fitrinur Amiera, dan Anith Humairah kini sedang mengikuti program khas sebagai persiapan menjelang Piala Asia.

 

“Oleh itu, pemain yang telah terpilih kali ini perlu membuktikan bahawa mereka layak dan bersedia untuk bersaing di pentas lebih tinggi,” ujarnya.