Speedy Tigers menunjukkan peningkatan positif di kempen Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) 2024 selepas melakar kemenangan kedua dengan penyerang negara, Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal berjaya mencipta hatrik keduanya di kejohanan ini.

Lebih manis, kemenangan itu dicatat ke atas pasukan yang telah mengesahkan tempat di Sukan Olimpik Paris, New Zealand dengan keputusan 6-4 di Stadium Azlan Shah, hari ini.

Pada suku pertama, Malaysia memberi ‘kejutan’ kepada pasukan di ranking ke-10 dunia itu apabila memperolehi empat gol dalam tempoh 15 minit pertama.

Penyerang sensasi negara, Faizal Saari membuka tirai jaringan seawal minit kedua menerusi gol padang dan tiga minit kemudian giliran Azrai mencetak nama sebagai penjaring hasil pukulan sudut penalti.

Belum sempat benteng New Zealand bertenang, gawang mereka sekali lagi dirobek seminit kemudian hasil gol padang diledak Azimuddin Syakir Kamaruddin.

Sebelum tamat suku pertama, Azrai sekali lagi membuktikan ketajamannya apabila memanfaatkan hantaran Shello Silverius untuk gol keempat Malaysia menerusi jaringan padang.

Memasuki suku kedua, New Zealand akhirnya kembali  mendapat rentak permainan dan hasilnya mereka menjaringkan gol pertama pada minit ke-21 menerusi Jake Smith hasil pukulan sudut penalti.

Anak buah Greg Nicol terus menekan benteng Malaysia dan tekanan itu membolehkan mereka mendapat satu pukulan penalti stroke pada minit ke-28, yang disempurnakan Jonty Elmes.

Seminit kemudian, New Zealand sekali lagi dihadiahkan pukulan penalti stroke namun penjaga gol Malaysia, Muhammad Hafizuddin Othman beraksi cemerlang dengan menafikan pukulan kedua dilakukan Elmes untuk mengakhiri babak pertama dengan keputusan 4-2.

Bermula suku ketiga, New Zealand terus meningkatkan intensiti permainan sehingga memaksa Malaysia bertahan namun tiada jaringan dihasilkan.

Ketika Black Sticks sibuk menekan benteng pertahanan tuan rumah, satu serangan balas pantas dimulakan Marhan Jalil, disusuli hantaran Azrai sebelum disudahkan dengan tolakan mudah oleh Muhajir Abdul Rauf memberi gol kelima buat Malaysia pada minit ke-52.

Tersentak dengan gol itu, New Zealand tidak berputus asa apabila kembali merapatkan jaringan menerusi pukulan sudut penalti oleh Scott Cosslett pada minit ke-28 untuk kedudukan 5-3.

Dua minit terakhir, benteng pertahanan yang diketuai Hafizuddin dipaksa bekerja keras menahan asakan bertali arus daripada jentera serangan New Zealand.

Pasukan lawan yang memilih bermain ‘power play’ terpaksa menanggung risiko apabila dikejutkan dengan satu serangan balas pantas disudahkan Azrai hasil gol padang dan ia merupakan jaringan hatrik dalam perlawanan itu.

Azrai sebelum ini telah meledak hatrik pada aksi menentang Pakistan yang berkesudahan 4-5 pada Sabtu lalu.

Ketika perlawanan hampir tamat, New Zealand memperolehi gol keempat hasil pukulan sudut penalti disudahkan oleh Isaac Houlbrooke.

Ketua jurulatih hoki negara, Sarjit Singh berkata empat gol awal diperolehi pada suku pertama menjadi antara faktor pasukannya memenangi perlawanan ini.

Bagaimanapun, anak buahnya kehilangan fokus pada suku kedua dan itu menjadi antara kelemahan yang harus diperbaiki oleh barisan kejurulatihan.

“Saya fikir kita bernasib baik kerana menjaringkan empat gol awal dan ia membuat pemain-pemain cepat selesa dalam permainan.

“Satu gol, dua gol, tiga gol dan empat gol menakjubkan tetapi selepas itu kita dibolosi satu gol selepas itu, pemain-pemain mula kehilangan fokus dan perlukan masa untuk kembali dalam permainan.

“Tetapi ia perkara biasa dalam sukan hoki kerana apabila anda mendahului permainan, anda akan bermain tenang. Saya rasa kita perlu memantapkan lagi barisan pertahanan kita,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.

Terdahulu, Jepun menjadi pasukan pertama mengejutkan Black Sticks dengan kemenangan 4-1 pada aksi yang berlangsung Ahad lalu.

Malaysia memulakan kempen PSAS 2024 dengan kekalahan 4-5 kepada Pakistan sebelum bangkit dengan dua kemenangan ke atas Kanada 6-2 dan New Zealand sekali gus menunjukkan graf prestasi Speedy Tiger menunjukkan peningkatan.

Dalam pada itu, pengendali New Zealand, Greg Nicol tidak melihat kekalahan ini sebagai perkara yang buruk kepada pasukannya.

Sebaliknya beliau lebih berminat melihat perkara positif yang dilakukan barisan pemain mudanya dalam permainan ini.

“Jangan melihat kepada keputusan perlawanan tetapi saya lebih suka katakan ia satu perlawanan yang menarik untuk ditonton.

“Benar kekalahan ini buat saya kecewa tetapi saya lebih suka melihat perkara positif yang dilakukan para pemain muda, banyak pengajaran dipelajari dan itu pengalaman bagus untuk mereka,” ujarnya.

Tags: