Hoki Dalam Dewan: Lelaki belasah Singapura 8-0, Wanita Tundukkan Indonesia 3-0

Skuad hoki dalam dewan lelaki dan wanita kebangsaan meneruskan rentak cemerlang apabila mencatat kemenangan ketiga berturut-turut dalam saingan round robin Sukan SEA Thailand 2025 di Wet 1 Hall Thai-Japan Sports Center, hari ini.

 

Pasukan wanita tidak berdepan masalah menjinakkan Indonesia 3-0 manakala skuad lelaki berpesta gol membelasah Singapura 8-0.

 

Dalam aksi itu, Nor Asfarina Isahiyifiqa Isahhidun meledak dua gol menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-2 dan ke-20, manakala Nur Atira Mohamad Ismail menjaringkan gol padang pada minit ke-23 untuk memberi kemenangan bergaya buat Malaysia.

 

Ketua Jurulatih Skuad Hoki Wanita Dalam Dewan Negara, Rodzhanizam Mat Radzi secara keseluruhan berpuas hati dengan peningkatan prestasi ditunjukkan anak buahnya pada perlawanan ini berbanding aksi semalam bertemu Filipina.

 

“Alhamdullilah kemenangan yang ketiga buat pasukan dan kita bertemu dengan pasukan boleh dikatakan seteru kita iaitu Indonesia. Saya ingin mengucapkan tahniah kepada pemain-pemain kita kerana menang dengan Indonesia 3-0 tanpa dibolosi sebarang gol pada hari ini.

 

“Apa yang kita lihat pada hari ini pemain-pemain menunjukkan peningkatan berbanding perlawanan semalam, mereka telah memberikan yang terbaik mengikut taktikal dan permainan kita harapkan selain semangat juang tinggi, ia membuat barisan kejurulatihan berasa bangga dan berpuas hati.

 

“Tetapi masih ada kesilapan-kesilapan yang dilakukan pemain-pemain, itu kita akan tengok balik menjelang aksi esok bertemu Thailand. Kita harap pemain-pemain bagi yang terbaik seperti diberikan seperti perlawanan hari ini, kita juga akan membuat analisa dan mahu menang dalam aksi itu,” katanya selepas perlawanan.

 

Sementara itu, bagi kategori lelaki Malaysia jelas menguasai perlawanan sepenuhnya dengan mempamerkan aksi menyerang dengan penyudah yang tajam, selain disiplin tinggi dalam bertahan.

 

Muhammad Najmi Farizal Jazlan muncul penjaring terbanyak apabila meledak hatrik menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-2, 17 dan 23, sekali gus meletakkan Malaysia selesa di hadapan sejak awal perlawanan.

 

Shahmie Irfan Suhaimi menggandakan kelebihan menerusi gol padang pada minit ke-10, sebelum Faridzul Afiq Mohd dan Mohamad Ashran Hamsani masing-masing mencatat nama sebagai penjaring pada minit ke-19 dan 24.

 

Malaysia terus menekan Singapura dengan Muhamad Izham Azhar menambah jaringan ketujuh pada minit ke-28, sebelum Faridzul Afiq sekali lagi menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-39 untuk melengkapkan kemenangan bergaya 8-0.

 

Ketua Jurulatih, Amin Rahim menyifatkan kemenangan itu sebagai satu petanda positif, namun mengingatkan pemain agar tidak leka menjelang perlawanan seterusnya.

 

“Alhamdulillah atas kemenangan ketiga berturut-turut dalam saingan kumpulan. Dari segi prestasi, saya melihat masih ada beberapa perkara yang perlu diperbaiki, terutama aspek pemulihan pemain kerana kami telah mengharungi tiga perlawanan berturut-turut.

 

“Sudah tentu perlawanan menentang Thailand esok dijangka sengit kerana mereka juga antara pencabar utama dalam Sukan SEA kali ini.

 

“Saya berharap pemain dapat menilai semula kelemahan yang ditunjukkan dalam perlawanan hari ini dan membuat persiapan rapi untuk berdepan tuan rumah yang pastinya mendapat sokongan padu penyokong sendiri,” katanya selepas perlawanan.

 

Kedua-dua pasukan negara dijadualkan berdepan Thailand dalam aksi seterusnya dan mereka mahu mengekalkan momentum kemenangan dan mengukuhkan kedudukan di puncak kumpulan untuk mendapa

t laluan mudah di separuh akhir.