Skuad Hoki Dalam Dewan Wanita Kebangsaan menunjukkan kebangkitan di separuh akhir selepas berjaya mengatasi cabaran Indonesia dengan keputusan 2-0 di Wet 1 Hall Thai-Japan Sports Center, hari ini.
Kemenangan itu membolehkan Malaysia menempah tiket ke final bertemu dengan tuan rumah, Thailand dalam perebutan pingat emas di Sukan SEA 2025 dan ia juga menjadi medan untuk skuad wanita negara membalas dendam susulan kekalahan 0-2 pada aksi terakhir ’round robin’.
Malaysia membuka tirai jaringan pada minit ke-11 menerusi penyudah pukulan sudut penalti disempurnakan Fazilla Sylvester Silin dan Nuraslinda Said menggandakan kedudukan di minit ke-26 untuk memberi kemenangan mutlak kepada skuad wanita negara.
Ketua jurulatih hoki dalam dewan wanita negara, Rodzhanizam Mat Radzi memuji prestasi cemerlang anak buahnya terutama penjaga gol, Farah Ayuni Yahya yang bertindak cemerlang menafikan percubaan jentera serangan Indonesia.
Katanya, pasukannya berpeluang mengejutkan Thailand di pentas final sekiranya berjaya melaksanakan segala perancangan yang dirangka dengan baik, di samping meminimumkan kesilapan.
“Alhamdullilah hari ini kita menang bertemu dengan Indonesia di separuh akhir. Pemain telah beri yang terbaik pada aksi ini, bermain dengan semangat juang tinggi dan berikan 200 peratus serta bermati-matian. Itu kita dapat lihat pada aksi ini.
“Penjaga gol Ayuni bermain dengan baik, menafikan peluang Indonesia yang mendapat banyak PC (pukulan sudut penalti), termasuk pemain pertahanan juga. Tahniah kepada pemain kerana mencapai sasaran kita ke final.
“Esok bertemu Thailand di final, mereka boleh dikatakan satu pasukan yang kuat, bermain di Piala Dunia sebelum ini. Jurang kita dengan Thailand tidaklah terlalu jauh cuma kita melakukan kesilapan sebelum ini. Barisan kejurulatihan berharap pemain-pemain dapat melakukan yang terbaik untuk aksi final esok,” katanya selepas perlawanan.
Sementara itu, pasukan hoki dalam dewan lelaki negara tidak berdepan masalah mengatasi Singapura 6-0 dan dilihat berpeluang cerah untuk merampas kembali pingat emas selepas turut mendominasi aksi round robin sebelum ini.
Malaysia mempamerkan aksi bertenaga dan tersusun apabila membuka tirai jaringan pada minit ke-10 menerusi pukulan sudut penalti (PC) hasil sentuhan Muhammad Najmi Farizal Jazlan.
Rentak serangan Malaysia semakin rancak apabila dua gol pantas dihasilkan pada minit ke-15 menerusi jaringan gol padang Meor Muhamad Azuan Hasan dan Muhamad Izham Azhar, meletakkan pasukan dalam kedudukan selesa 3-0.
Mohamad Ashran Hamsani kemudian menambah kelebihan dengan gol keempat menerusi jaringan padang pada minit ke-25 sebelum Muhammad Najmi Farizal Jazlan sekali lagi menemui sasaran melalui PC pada minit ke-28.
Memasuki separuh masa kedua, Muhamad Izham Azhar melengkapkan jaringan peribadinya dengan gol keenam menerusi jaringan padang pada minit ke-36, sekali gus mengesahkan kemenangan bergaya skuad negara.
Mengulas mengenai kemenangan itu, ketua jurulatih, Amin Rahim memuji komitmen tinggi diberikan para pemain untuk melakar kemenangan di separuh akhir dan mara ke pentas final.
Jelasnya, pertembungan dengan Indonesia bukan satu perlawanan yang mudah namun anak buahnya bersedia untuk mencatat keputusan positif dan membawa pulang pingat emas.
“Syukur Alhamdulillah di atas kemenangan 6-0, bagi saya satu jaringan yang baik pada separuh akhir walaupun pada pusingan round robin kita menang 8-0. Kredit diberikan kepada pemain-pemain kerana beraksi dengan baik dan tidak bolos, ia satu petanda positif untuk aksi final esok.
“Untuk perlawanan akhir esok, berdepan Indonesia. Saya ada keyakinan tinggi untuk pasukan menghasilkan keputusan yang baik namun dalam masa sama kita harus lihat juga bagaimana kita bermain dengan mereka pada aksi kumpulan.
“Ada banyak lagi aspek yang perlu kami perbaiki sebelum perlawanan esok dan yang paling penting, para pemain perlu menjalani sesi pemulihan sepenuhnya bagi memastikan mereka berada pada tahap terbaik untuk beraksi esok,” kata Amin.









