Hoki Dalam Dewan Wanita Kebangsaan Mula Garang, Benam Singapura 10-0

Skuad Hoki Dalam Dewan Wanita Kebangsaan membuka kempen acara itu di Sukan SEA Thailand 2025 dengan penuh bergaya apabila menewaskan Singapura 10-0 pada aksi pertama pusingan round robin yang berlangsung di Wet 1 Hall Thai-Japan Sports Center, Bangkok.

 

Pada aksi itu, Malaysia menguasai permainan sepenuhnya sejak wisel permulaan, sebelum menamatkan aksi dengan kemenangan besar.

 

Malaysia memulakan pesta jaringan seawal minit ke-4 menerusi gol padang Norshafiqha Ishak, diikuti jaringan pukulan sudut penalti (PC) Fazilla Sylvester Silin pada minit ke-5.

 

Rentak serangan pantas diteruskan dengan gol padang Iren Hussin pada minit ke-7 dan Nur Atira Mohamad Ismail menambah seminit kemudian.

 

Nor Asfarina Isahiyifiqa Isahhidun turut mencatat nama sebagai penjaring menerusi PC pada minit ke-11, sebelum Nur Atira Mohamad Ismail meledak hatrik dengan jaringan pada minit ke-25, 26 dan 28 hasil gol padang.

 

Iren Hussin menambah kelebihan Malaysia dengan gol menerusi penalti strok (PS) pada minit ke-33, sebelum LT. Nur Aisyah Yaacob melengkapkan kemenangan bergaya skuad negara dengan jaringan PC pada minit ke-40.

 

Jurulatih Hoki Dalam Dewan Wanita Negara, Rodzhanizam Mat Radzi, mengakui berpuas hati terhadap tahap komitmen dan disiplin yang dipamerkan para pemain sepanjang perlawanan tersebut.

 

“Saya berpuas hati dengan komitmen dan disiplin yang ditunjukkan oleh para pemain sepanjang perlawanan. Kemenangan 10–0 ini mencerminkan persediaan rapi pasukan, khususnya dari segi struktur permainan, tekanan berterusan dan kecekapan penyudah.

 

“Namun begitu, masih ada beberapa aspek yang perlu diperbaiki, terutamanya dari segi konsistensi tempo permainan, membuat keputusan di zon serangan dan dari segi penyudah yang belum capai tahap yang sepatutnya.

 

“Secara keseluruhan, ini adalah permulaan yang positif tetapi bukan penanda aras sebenar kekuatan pasukan,” katanya selepas perlawanan.

 

Menurut Rodzhanizam, hari rehat esok akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk pemulihan fizikal dan mental pemain, selain memberi fokus kepada sesi pemulihan, analisis perlawanan pertama serta perbincangan taktikal.

 

“Barisan kejurulatihan juga akan menilai semula aspek teknikal dan taktikal yang perlu diperkemaskan agar pasukan berada dalam keadaan terbaik menjelang perlawanan yang seterusnya,” jelasnya.

 

Mengulas pertemuan menentang Filipina selepas ini, beliau menegaskan fokus utama pasukan adalah untuk mengekalkan disiplin permainan, intensiti tinggi serta melaksanakan pelan taktikal dengan konsisten.

 

“Saya mahukan pemain kekal fokus, tidak memandang rendah lawan dan bermain sebagai satu unit. Jumlah jaringan bukan keutamaan, sebaliknya keberkesanan pelaksanaan taktikal, kawalan permainan, penyudah yang lebih baik dan peningkatan prestasi berbanding perlawanan pertama menjadi penanda aras sebenar bagi pasukan,” tegasnya.