Hasrat Speedy Tigers untuk mara ke final buat kali kedua dan mempertahankan kejuaraan Piala Sultan Azlan Shah (PSAS), tidak kesampaian selepas tewas 1-2 kepada Jepun pada aksi keempat kejohanan yang memasuki edisi ke-30 malam ini.
Disebalik kekalahan itu, pujian harus diberikan kepada barisan pemain-pemain negara yang telah berjuang habis-habisan terutama pada suku keempat perlawanan dengan meraih empat pukulan sudut penalti berturut-turut namun aksi cemerlang ditampilkan penjaga gol Jepun, Takashi Yoshikawa, membuat Malaysia berputih mata.
Pada perlawanan di Stadium Azlan Shah, Malaysia hampir membuka tirai jaringan pada minit ke-23 namun percubaan Faizal Saari berjaya dinafikan Yoshikawa.
Seminit kemudian, menerusi satu serangan balas pantas direncana Jepun, mereka berjaya menghasilkan gol pertama buat skuad Samurai hasil gol padang diledak oleh Kazumasa Matsumoto untuk mereka mendahului 1-0 pada babak pertama.
Memasuki suku ketiga, Speedy Tiger meningkatkan intensiti permainan dengan melakukan serangan bertali-arus ke gawang Jepun.
Tekanan demi tekanan dilakukan anak buah Sarjit Singh, akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-31 hasil pukulan kilas kencang dilakukan Faizal untuk menyamakan kedudukan.
Namun, Jepun kembali didepan pada minit ke-50 hasil gol padang dijaringkan Ryoma Ooka.
Tersentak dengan gol itu, jentera serangan Malaysia mengatur serangan berterusan menekan benteng pertahanan Jepun namun jaringan gagal diperolehi Speedy Tigers.
Kekalahan itu menyebabkan Malaysia kemungkinan besar bakal bermain di penentuan tempat ketiga dan keempat manakala Jepun dan Pakistan merebut kejuaraan edisi ke-30.
Justeru, bagi memastikan Speedy Tigers berada dalam kelompok empat terbaik, mereka perlu membenam cabaran Korea Selatan pada aksi terakhir sepusingan, Jumaat ini.
Untuk rekod, pertemuan terakhir melibatkan kedua-dua pasukan pada tahun 2022 di kejohanan itu, menyaksikan Malaysia menewaskan Jepun 4-2.
Ketua jurulatih hoki negara, Sarjit Singh mengakui sepatutnya mereka mampu mengubah keputusan perlawanan berdasarkan peluang-peluang yang dicipta terutama pada suku keempat.
“Peluang dicipta pada suku ketiga dan keempat sebenarnya cukup untuk kita kembali berada dalam permainan atau menjaringkan gol.
“Secara keseluruhan pemain-pemain telah bermain dengan baik dan saya rasa mereka sedikit gementar tetapi kesungguhan yang ditunjuk mereka dalam perlawanan ini buat saya puas hati.
“Pertahanan Jepun bertahan dengan baik hingga menyukarkan kita untuk jaringkan gol. Ini bukan hari kita,” katanya ketika sidang media selepas perlawanan.
Jumaat ini, Malaysia akan bertemu Korea Selatan dan perlawanan dalam aksi itu sangat penting bagi memastikan Speedy Tigers berada dalam kelompok empat terbaik selepas liga sepusingan berakhir.
“Kita akan bermain corak permainan seperti biasa,” ujarnya ringkas ketika ditanya mengenai persiapan menentang Korea Selatan.
Sementara itu, pengendali Jepun, Yoshihiro Anai memuji semangat dan keinginan tinggi yang ditunjukkan anak buahnya untuk memburu kemenangan pada perlawnan ini.
“Kami memberi segalanya dalam perlawanan ini dan ia dapat dilihat menerusi keputusan diperolehi dan hanya melepaskan satu gol. Ia satu perlawanan yang sengit.
“Masih ada satu perlawanan lagi dan saya akan fikir aksi menentang Kanada terlebih dahulu sebelum fikirkan tentang final,” jelasnya.
Dalam pada itu, pemain terbaik perlawanan dinobatkan kepada Yoshikawa yang menafikan deretan percubaan pemain Malaysia.