SSBJ Thunderbolts melangkah ke separuh akhir Piala TNB selepas merekodkan kemenangan 5-2 ke atas PPHT Thunderbolts dalam aksi suku akhir di Stadium Hoki National, Bukit Jalil hari ini.
Ketua jurulatih SSBJ Thunderbolts, Mohamad Sukri Abdul Mutalib mempunyai pandangan berbeza walaupun anak-anak buahnya masih kekal tanpa kalah musim ini termasuk menjuarai Divisyen 1 TNB Liga Hoki Remaja Malaysia (TNBMJHL) 2026 minggu lalu.
Kini, SSBJ Thunderbolts cuma selangkah lagi untuk mengesahkan tempat ke final dalam usaha mempertahankan kejuaraan Piala TNB dimenangi mereka musim lalu.
“Syukur Alhamdulillah kita menang untuk melangkah ke separuh akhir tetapi ada turun dan naik kalau dilihat dari segi persembahan keseluruhan hari ini.
“Pusingan kalah mati agak berbeza dan bermain pada pukul 3 petang bukan sesuatu yang mudah. Prestasi tak berapa konsisten tetapi paling mustahak kita dapat hukum pihak lawan dan meraih kemenangan.
“Saya harap kami dapat perbaiki segala kelemahan di perlawanan seterusnya kerana di separuh akhir nanti lebih mencabar. Saya akan analisis perlawanan pasukan lawan dari liga hingga suku akhir tadi,” katanya.
Di separuh akhir Jumaat ini (17 Julai), SSBJ Thunderbolts akan bertemu AHSSN Pahang Thunderbolts yang menewaskan PHJ/MSNJ/SMKDBL 2-1 di suku akhir hari ini.
Ia merupakan ulangan final musim lalu yang mana ketika itu SSBJ Thunderbolts berjaya menewaskan AHSSN Pahang Thunderbolts 3-0.
Satu lagi perlawanan separuh akhir akan menyaksikan pertembungan antara naib juara TNBMJHL 2026, Anderson Thunderbolts menentang bekas juara Piala TNB 2024, SSTMI Thunderbolts.
Anderson mara ke separuh akhir selepas menewaskan SSBJ Juniors 9-3, manakala SSTMI menang 3-1 ke atas MHS Thunderbolts di suku akhir hari ini.









