Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) menerusi Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan, yang juga merupakan Pengurus Pasukan Lelaki Kebangsaan, Dato’ Ahmad Najmi Abdul Razak, hari ini secara rasminya menyenaraikan barisan 20 pemain Skuad Senior Lelaki Kebangsaan ke Kejohanan FIH Piala Negara-Negara (Nations Cup) 2023-2024 di Gniezno, Poland.

Kejohanan yang membuka tirai pada 31 Mei hingga 9 Jun 2024 itu akan menjadi medan ujian kedua buat pasukan negara di mana edisi kedua Nations Cup ini menyaksikan Malaysia diletakkan di dalam Pool B bersama Perancis, Pakistan dan Kanada. Edisi pertama pada 2022, Malaysia telah menamatkan kejohanan di kedudukan keempat.

Menerusi senarai 20 pemain yang diumumkan, The Speedy Tigers akan menampilkan tujuh  pemain yang tidak beraksi di Kejohanan Piala Sultan Azlan Shah baru-baru ini, selain lima daripada senarai pemain tersebut akan meraih caps anatarabangsa pertama mereka sekiranya diturunkan.

Penjaga gol, Muhamad Zaimi Mat Deris, tiga pemain pertahanan, (Muhamad Faris Harizan, Muhamad Kamarulzaman Kamaruddin dan Muhammad Arif Syafie Ishak), pemain tengah, (Syawal Abd Razak) serta dua penyerang, (Naaveennash Panicker Thevendran dan Nur Rahull Hrsikesa Thaitchana Muruthi), merupakan tujuh pemain yang tidak tersenarai di dalam Skuad Piala Sultan Azlan Shah baru-baru ini.

Paling kiri : Nur Rahull Hrsikesa Thaitchana Muruthi akan meraih caps antarabangsa pertama sekiranya diturunkan.

Seperti edisi lalu, walaupun setiap pasukan dibenarkan untuk membawa 20 pemain dalam Kejohanan Nations Cup, namun hanya 18 pemain akan didaftarkan sebagai pemain utama sementara dua pemain akan diletakkan di dalam keadaan bersiap sedia untuk menggantikan mana-mana pemain sekiranya berlaku sebarang kecederaan.

Jelas Dato’ Ahmad Najmi Abdul Razak, apa yang dituntut daripada 20 pemain yang telah dipilih bagi kejohanan ini adalah agar setiap pemain dapat memberikan aksi yang terbaik selain tidak gentar dengan cabaran yang akan diberikan oleh pasukan-pasukan yang bertanding.

“Kejohanan ini pastinya akan memberikan pengalaman yang lebih mencabar kepada barisan pemain terutamanya enam pemain yang akan meraih caps antarabangsa pertama mereka. Apa yang pasukan ingin lihat daripada pemain-pemain ini adalah keberanian untuk memberikan tentangan serta bermain dengan baik.

“Pemain-pemain ini adalah masa depan Malaysia dan mereka perlu ada rasa tanggungjawab yang tinggi ketika membawa cabaran negara sama ada pemain muda atau yang telah berpengalaman.

“Kami ingin melihat satu kerjasama yang baik antara barisan pemain dan kejurulatihan selain pasukan akan mengambil satu perlawanan demi satu perlawanan untuk diberikan perhatian,” jelas Dato’ Ahmad Najmi.

Turut senada dengan Dato’ Ahamd Najmi, ialah Ketua Jurulatih Pasukan Lelaki Kebangsaan, Sarjit Singh yang menyifatkan walaupun tentangan hebat pasti akan dihadapi oleh barisan pemainnya pada kejohanan ini, tetapi cabaran perlu diambil dengan positif.

“Cabaran ini perlu diambil dengan baik oleh barisan pemain serta kami perlu mengharunginya dengan sebaik mungkin bagi melepasi pusingan kumpulan dan seterusnya layak ke separuh akhir. Selain itu pemain juga perlu mempunyai keinginan yang tinggi untuk melepasi peringkat kumpulan.

“Pasukan ini merupakan pasukan projek jangka masa panjang jadi tiada tekanan buat pemain-pemain terutamanya pemain muda yang akan meraih caps antarabangsa pertama mereka.

“Bagaimanapun pemain perlu menonjolkan bakat serta potensi yang mereka miliki ketika beraksi di peringkat antarabangsa.

“Barisan kejurulatihan akan terus menilai setiap pemain bagi memastikan pemain ini dapat berkembang dengan secepat mungkin dan membentuk satu pasukan yang terbaik serta mempunyai persefahaman yang baik antara pemain berpengalaman serta pemain muda,” jelas beliau.

Berikut merupakan senarai 20 pemain Skuad Senior Lelaki Kebangsaan yang akan menggalas cabaran Malaysia di Kejohanan FIH Piala Negara-Negara (Nations Cup) 2023-2024 di Gniezno, Poland.

NO NAMA POSISI NO JERSI
1 MUHAMMAD HAFIZUDDIN OTHMAN PENJAGA GOL 21
2 MUHAMAD ZAIMI MAT DERIS PENJAGA GOL 16
3 MUHAMMAD MARHAN JALIL (KAPTEN) PERTAHANAN 6
4 SYED MOHAMAD SYAFIQ  SYED CHOLAN PERTAHANAN 1
5 MUHAMMAD AMIRUL HAMIZAN AZHAR PERTAHANAN 29
6 MUHAMMAD NAJIB ABU HASSAN PERTAHANAN 2
7 MUHAMAD FARIS HARIZAN PERTAHANAN 30
8 MUHAMAD KAMARULZAMAN KAMARUDDIN PERTAHANAN 25
9 MUHAMMAD ARIF SYAFIE ISHAK PERTAHANAN 18
10 MOHD FITRI SAARI TENGAH 7
11 NIK MUHAMMAD AIMAN NIK ROZEMI TENGAH 24
12 SHELLO SILVERIUS TENGAH 15
13 AZIMUDDIN SYAKIR KAMARUDDIN TENGAH 31
14 SYAWAL ABD RAZAK TENGAH 20
15 FAIZAL SAARI PENYERANG 10
16 MUHAMMAD AZRAI AIZAD ABU KAMAL PENYERANG 23
17 MOHAMAD AKHIMULLAH ANUAR ESOOK PENYERANG 11
18 MUHAJIR ABDU RAUF PENYERANG 26
19 NAAVEENNASH PANICKER THEVENDRAN PENYERANG 28
20 NUR RAHULL HRSIKESA THAITCHANA MURUTHI PENYERANG 3

Berikut merupakan jadual perlawanan The Speedy Tigers bagi aksi Kumpulan B :

NO HARI TARIKH PERLAWANAN MASA
1. JUMAAT 31 MEI 2024 MALAYSIA LWN PAKISTAN 5:30 MALAM
2. AHAD 2 JUN 2024 PERANCIS LWN MALAYSIA 9:30 MALAM
3. RABU 5 JUN 2024 MALAYSIA LWN KANADA 9:30 MALAM
   

** Masa Perlawanan Adalah Waktu Malaysia

Tags: