The Speedy Tigers menutup aksi klasifikasi 5 hingga 8, Perlawanan Kelayakan Sukan Olimpik Paris 2024, (Lelaki) Oman, dengan kemenangan 5-0 ke atas Chile dan Penjaga gol negara, Muhammad Hafizuddin Othman dipilih selaku Pemain Terbaik Perlawanan menentang Chile.
Keputusan tersebut menyaksikan Malaysia akan beraksi di penentuan kedudukan tempat ke-5 dan ke-6 bertemu Kanada dan perhitungan dengan Kanada akan berlangsung esok jam 7:30 malam (waktu Malaysia) selepas Kanada menewaskan China 3-1 dalam satu lagi aksi klasifikasi 5 hingga 8.
Dalam aksi yang berlangsung hari ini, Malaysia dan Chile dilihat cuba mengatur serangan awal untuk meraih jaringan pembukaan namun aksi suku pertama ditutup dengan kedua-dua pasukan buntu untuk menjaringkan sebarang gol.
Memasuki suku kedua, Malaysia dilihat mempunyai peluang untuk menjaringkan gol termasuk menerusi percubaan Muhammad Firhan Ashari namun percubaan tersebut sedikit tersasar. Malaysia terus menggandakan asakan dan hasilnya minit ke-25, skuad negara dihadiahkan dengan pukulan sudut penalti pertama.
Bagaimanapun kelebihan tersebut masih belum menghasilkan sebarang gol untuk Malaysia selepas flik yang dilakukan Muhammad Razie Abd Rahim diselamatkan oleh pertahanan Chile dan kedudukan 0-0 kekal menutup aksi separuh masa pertama.
Seminit selepas suku ketiga bersambung, Malaysia dihadiahkan dengan tiga pukulan sudut penalti berturut-turut dan kali ini satu flik terus mencari sudut bawah sebelah kanan pintu gol Chile yang dilakukan oleh Razie Rahim berjaya menghadiahkan gol pertama Malaysia.
Berselang dua minit kemudian, Malaysia terus melebarkan jurang gol kali ini menerusi gerakan padang yang bermula dengan bola hantaran Norsyafiq Sumantri menuju ke pintu gol Chile berjaya untuk disudahkan oleh Mohamad Ashran Hamsani untuk Malaysia selesa dihadapan 2-0.
Minit ke-41, Malaysia sekali lagi dihadiahkan dengan pukulan sudut penalti keenam dan kali ini set-piece yang dirancang berjaya untuk disudahkan oleh Kapten Pasukan, Muhammad Marhan Mohd Jalil yang bijak menyambut bola tolakan Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal untuk aksi suku ketiga ditutup kelebihan 3-0 buat Malaysia.
Minit ke-48, gol keempat Malaysia hadir kali ini selepas kesilapan penjaga gol Chile yang cuba menyelamatkan bola tolakan Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal menyaksikan bola tersebut muntah di hadapan Norsyafiq Sumantri dan beliau menggunakan peluang tersebut untuk mencetak gol keempat Malaysia.
Beberapa saat sebelum perlawanan sebenar berakhir, Malaysia yang giat mengatur serangan dihadiahkan dengan penalti stroke selepas kesilapan dilakukan oleh Chile dan Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal memanfaatkan kelebihan tersebut dengan sebaiknya untuk Malaysia menutup perlawanan dengan kemenangan 5-0 ke atas Chile.