Perlawanan pertama untuk hari kedua bagi skuad lelaki dan wanita bawah 18 tahun negara menyaksikan nasib berbeza dialami oleh kedua-dua pasukan apabila skuad wanita terpaksa berdepan kekalahan 1-9 kepada China sementara skuad lelaki terus cemerlang mencatatkan kemenangan 10-0 keatas Chinese Taipei pada kejohanan Kelayakan Sukan Olimpik Remaja 2018 Asia (5 Sebelah) yang berlangsung di Stadium Queen Sirikit, Bangkok Thailand, pagi ini.
Terdahulu skuad wanita yang beraksi menentang China memperolehi gol saguhati pada minit ke-13 menerusi Siti Zulaika Hussain dan kebangkitan yang cuba untuk ditampilkan oleh skuad wanita B-18 negara dinafikan oleh pemain-pemain China.
Pengendali skuad wanita, Yahya Atan menerima kekalahan pertama skuad negara di tangan juara Sukan Olimpik Remaja 2014 dan mahu anak-anak buahnya bangkit pada aksi kedua petang ini bertemu Chinese Taipei.
“Kami menerima hakikat kekalahan ini dan jika dilihat dari segi fizikal juga mereka telah menang selain mereka juga merupakan juara Sukan Olimpik Remaja 2014 yang masih mengekalkan momentum mereka dan dari segi asas permainan mereka juga baik.
“Semua pasukan akan beraksi dua perlawanan dan tidak timbul isu kepenatan kerana jika mereka mahu beraksi di separuh akhir mereka perlu mencari kemenangan bertemu Chinese Taipei petang ini selain semangat untuk tidak mudah menyerah kalah perlu dipertingkatkan lagi dan kemenangan akan membantu untuk kami bertemu Jepun pada perlawanan terakhir selain membuka laluan ke separuh akhir,” ujar Yahya.
Sementara itu pertemuan antara skuad lelaki b-18 dengan Chinese Taipei menyaksikan skuad negara terus cemerlang mencatatkan kemenangan kedua berturut-turut apabila menjadikan Chinese Taipei mangsa belasahan kedua dengan jaringan 10-0.
Sepuluh gol negara yang dihasilkan oleh skuad negara masing-masing menerusi dua jaringan sumbangan Muhammad Amirul Hamizan Azhar, Mohamad Akhimullah Anuar Esook, Muhammad Arif Syafie Ishak dan Muhammad Muhibuddin Moharam selain Syarman Mat Tee dan Muhammad Noor Firdaus Rosdi masing-masing menyumbang satu gol.
Bagi pengendali skuad lelaki, Wallace Tan, dia berasa lega apabila kemenangan kedua yang begitu penting berjaya diraih oleh anak-anak buahnya dan menjangkakan satu perlawanan sengit akan berlangsung petang ini bertemu Bangladesh.
“Kemenangan kedua sangat penting untuk membantu pasukan kerana kami tidak boleh keciciran sebarang mata dan kini kami boleh menumpukan pula kepada perlawanan bertemu Bangladesh petang ini dan teruskan usha untuk mengutip mata.
“Saya menjangkakan satu perlawanan yang sengit bertemu Bangladesh petang ini dan apa yang penting kami perlu menumpukan kepada permainan kami serta memikirkan cara terbaik untuk mengatasi Bangladesh dan tentunya saya mengharapkan satu lagi kemenangan akan berjaya dicatatkan,” ujar Wallace.
Skuad lelaki dan wanita negara akan turun pada satu lagi aksi petang ini dimana skuad lelaki akan terlenih dahulu pada jam 5 petang waktu Malaysia menentang Pakistan dan disusuli dengan skuad wanita yang akan beraksi pada jam 6 petang waktu Malaysia bertemu Chinese Taipei.