Kemenangan Pertama Suntik Motivasi Skuad B18

Skuad Hoki Lelaki Bawah 18 (B-18) tahun negara membuka kempen Piala Asia Lelaki B-18 yang berlangsung di China dengan keputusan positif apabila menundukkan Kazakhstan 4-0, hari ini.

 

 

Kemenangan itu pastinya menjadi tonik terbaik untuk skuad muda negara menjelang perlawanan seterusnya berdepan Indonesia esok.

 

 

Dalam perlawanan itu, empat gol Malaysia dijaringkan oleh Harieq Hadief Mohd Fariq menerusi penyudah pukulan sudut penalti pada minit ke-13, disusuli ledakan Thanesh Muniandy hasil gol padang (m-27).

 

 

Pada babak kedua, skuad remaja negara berjaya memperolehi dua lagi gol dalam masa lima minit iaitu pada minit ke-42 dan m-47 menerusi jaringan Iman Faris Faizo yang menyudahkan pukulan sudut penalti serta Muhammad Izz Ilhan Azrul Ridzuan hasil gol padang.

 

 

Ketua Jurulatih Pasukan B18 Lelaki Negara, Mohd Sufian Mohamad berkata kemenangan ke atas Kazakhstan bakal menjadi pembakar semangat kepada pemain-pemain menjelang aksi seterusnya.

 

 

Katanya, beliau berharap momentum positif ini dapat dikekalkan barisan pemain pada perlawanan akan datang dalam aksi Kumpulan B, seterusnya mencapai sasaran mara ke separuh akhir.

 

 

“Perlawanan ini menjadi penyuntik semangat kepada pemain dan diharapkan mereka dapat membawa kemenangan ini di perlawanan seterusnya.

 

 

“Tahniah kepada pemain kerana memberi komitmen tinggi dan saya harap mereka mengekalkan prestasi ini untuk perlawanan-perlawanan akan datang,” katanya selepas perlawanan.

 

 

Mengulas mengenai perlawanan berdepan Kazakhstan secara keseluruhan Mohd Sufian berpuas hati namun menegaskan bahawa masih ada beberapa perkara perlu dipertingkatkan terutama sentuhan penyudah.

 

 

“Syukur Alhamdullilah hari ini kita berjaya mendapat tiga mata untuk perlawanan pertama tetapi banyak lagi yang perlu dipertingkatkan untuk perlawanan seterusnya.

 

 

“Untuk perlawanan pertama hari ini saya berpuas hati denga misi kita untuk meraih kemenangan dan membawa pulang tiga mata penuh. Cuma pada perlawanan hari ini saya rasa banyak yang perlu dipertingkatkan terutama daripada segi penyudah.

 

 

“Kita mempunyai banyak peluang terhidang cuba agak kelam kabut dalam kawasan D, saya akan kumpul pemain dan mengadakan analisis video bersama mereka supaya dapat tingkatkan lagi prestasi pemain pada perlawanan seterusnya,” jelasnya.

 

 

Malaysia diundi berada dalam Kumpulan B bersama Indonesia, Jepun, Kazakhstan, Taiwan dan Uzbekistan dan dua pasukan terbaik dalam kumpulan akan mara ke separuh akhir.