Ketua Jurulatih Skuad Hoki Senior Lelaki Kebangsaan, Brendon Carolan, mengakui kempen 41 hari mereka di Afrika Selatan adalah satu persediaan terbaik sebelum ke Piala Dunia 2026 dari 15 hingga 30 Ogos ini.
Speedy Tigers meraih banyak pengalaman berguna menentang Afrika Selatan biarpun tewas 2-5 kepada pasukan itu dalam aksi terakhir siri lima ujian antarabangsa di Duncan North.
“Siri yang sangat bagus buat kami menentang Afrika Selatan kerana kita tahu mereka pernah menewaskan New Zealand dan Ireland selain turut melangkah ke final Piala Negara-Negara 2025-26.
“Ia satu jelajah yang sangat panjang tetapi pemain-pemain bermain dengan baik. Ada beberapa kecederaan berlaku dan membuka peluang kepada pemain-pemain lain untuk mengambil tanggungjawab itu.
“Saya anggap ia persediaan yang sangat baik berbanding sebelum kami bertolak ke Afrika Selatan pada 3 Jun lalu. Cara kami bermain juga lebih bagus sebagai satu pasukan dan ia sangat positif,” kata Carolan.
Speedy Tigers ‘berkampung’ lama di bumi Afrika Selatan sejak 3 Jun menghadapi saingan Piala Negara-Negara 2025-26 di Cape Town dan meraih tempat kelima.
Skuad negara kemudiannya melakukan sesi pemantapan pasukan di Duncan North dari 21 hingga 24 Jun dan lima siri ujian antarabangsa dengan Afrika Selatan.
Kini, Speedy Tigers pulang ke tanah air meluangkan masa bersama keluarga buat seketika dan berlepas ke Belgium dijangka 1 Ogos ini untuk beberapa aksi latihan dan persahabatan di Kelab Hoki Gantoise.
Mereka berkemungkinan bermain dua aksi pemanas badan menentang Perancis dan Sepanyol sebelum memulakan kempen Piala Dunia 2026 dalam Kumpulan B dengan Belgium, Jerman serta Perancis.









