Walaupun sudah berusia 37 tahun, tetapi khidmat tonggak pertahanan berpengalaman, Noor Hasliza Md Ali masih lagi diperlukan skuad hoki senior wanita kebangsaan menghadapi saingan antarabangsa tahun ini.
Ketua Jurulatih Malaysian Tigress, C.R. Kumar mengakui kualiti kepimpinan yang dimiliki oleh Hasliza amat ditagih oleh pasukan terutamanya untuk mengemudi dan menjadi contoh kepada barisan pemain muda.
Pemahamannya untuk menterjemahkan taktikal dimahukan C.R. Kumar di atas padang menjadi aset penting buat Malaysian Tigress menjelang Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 di Jepun dari 19 September hingga 4 Oktober.
“Ija (Hasliza) ada kualiti kepimpinan dan dia juga akan menggerakkan pemain lain untuk bekerja keras dalam latihan. Saya yakin ramai pemain akan dengar dan ikut arahannya kerana dari posisi belakang, dia boleh mengawal permainan.
“Jadi secara asasnya, dia mempunyai kualiti kepimpinan dan merupakan pemain yang bagus. Untuk saya, umur hanyalah angka, ia bukan masalah selagi dia cergas dan boleh bermain menentang pasukan-pasukan di tahap yang tinggi.
“Selepas melihat prestasinya di Kelayakan Piala Dunia dan di TNB MHL (Liga Hoki Malaysia), dia menunjukkan permainan yang sangat baik. Jadi saya yakin dia akan menjadi lebih baik dan terus meningkat,” kata C.R. Kumar.
Hasliza ketika ini menjadi pemain paling veteran dalam skuad Malaysian Tigress selepas kapten terdahulu, Juliani Mohamad Din beralih ke bidang kejurulatihan sebagai Penolong Jurulatih Pasukan Remaja Wanita Kebangsaan.
Untuk tahun ini, Malaysian Tigress mempunyai tugasan penting pada Sukan Asia Aichi-Nagoya selain Piala Negara-Negara 2 (Wanita) 2026-27.









