Keputusan Tepat Pilih Sertai Jelajah Jepun

Keputusan Konfederasi Hoki Malaysia menghantar skuad hoki remaja lelaki negara menyertai Jelajah Jepun bermula 6 hingga 13 Julai ini adalah satu langkah tepat dalam persediaan mereka ke Piala Remaja Asia 2026.

 

Ini disebabkan Jepun kini boleh dianggap antara pasukan yang sentiasa mencabar dalam kelompok empat teratas Asia sama ada remaja mahupun skuad senior mereka.

 

Ia terbukti menerusi kejayaan Jepun muncul naib juara Piala Asia B18 2026 di Kakamigahara bulan lalu selain skuad senior Matahari Terbit itu juga berjaya meraih tempat keempat Piala Negara-Negara 2025-26 baru-baru ini.

 

Pemain pertahanan muda Young Tigers, Dheeressh Gunaseelan percaya dia dan rakan sepasukannya mampu menimba banyak pengalaman bermain lima aksi persahabatan menentang skuad remaja dan senior Jepun.

 

“Jepun sebuah pasukan yang berdisiplin dan tahap hoki mereka sudah meningkat Jadi saya fikir MHC (Konfederasi Hoki Malaysia) membuat keputusan tepat memilih untuk pergi ke sana.

 

“Objektif saya ke Jepun adalah untuk dapatkan pendedahan dan pengalaman bermain sebagai satu pasukan. Objektif utama pasukan juga mahu membentuk persefahaman yang lebih baik dan rentak permainan yang lebih bagus sebagai satu pasukan.

 

“Jadi siri jelajah ini amat penting untuk persediaan kami ke Piala Remaja Asia dalam misi melayakkan diri ke Piala Dunia Remaja tahun depan,” katanya.

 

Dalam masa sama, Dheeressh juga mengakui teruja dan tidak sabar untuk meraih pengalaman menentang skuad senior Jepun kerana menurutnya ia amat penting buat perkembangan mereka sebagai pemain muda.

 

“Biasa orang akan rasa takut sebab mereka senior dan berpengalaman tetapi saya mahu lawan mereka. Kami mungkin tewas, dan saya tidak memandangnya ke arah negatif kerana dari situ kami akan belajar kesilapan kami, ini satu peluang yang besar sebenarnya,” jelasnya.