KEJAYAAN SSBJ Juniors menjuarai Divisyen 2 Zon Tengah tidak akan membawa apa-apa makna jika gagal melangkah ke pentas sebenar iaitu final keseluruhan Divisyen 2 kali ini.
Namun, keyakinan barisan pemain SSBJ Juniors tetap di tahap tertinggi susulan kejayaan mereka menewaskan PPHT Thunderbolts 4-2 dalam aksi final Divisyen 2 Zon Tengah di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil semalam (28 Jun).
Ketua jurulatihnya, Che Mohd Nasa’i Che Ramli melaungkan keyakinan anak-anak buahnya sudah bersedia untuk mengharungi halangan getir di separuh akhir menentang naib juara Divisyen 2 Zon Utara pada Rabu ini (1 Julai).
“Kami tidak kisah bertemu sesiapa tetapi apa yang pasti pasukan kami akan bersedia. Apabila dah ke separuh akhir, saya nak pemain terus konsisten sebab kami nak layak ke Divisyen 1.
“Alhamdulillah kemenangan malam ini memberi semangat dan motivasi kepada pemain. Jadi saya harap pemain tidak cepat berasa selesa dan terus beri persembahan terbaik,” katanya.
SSBJ Juniors bermula cemerlang pada final Div 2 Zon Tengah dengan dua gol pukulan sudut penalti (PC) menerusi Muhammas Faris Zakwan Mohammed Nijam dan Muhammad Aqeef Firdaus Adi Saifullizam pada minit ke-10 dan 16.
PPHT Thunderbolts berjaya bangkit mengikat kedudukan 2-2 hasil dua jaringan Muhammad Aizat Muhammad Akhera menerusi gol padang (m-29) dan PC pada minit ke-32.
Ternyata, PC menjadi kekuatan utama SSBJ Juniors yang menambah dua lagi gol melalui Muhammad Hakim Suhaimi dan Faris Zakwan masing-masing pada minit ke-38 serta 47.
Selaku juara Div 2 Zon Tengah, SSBJ Juniors akan menanti naib juara Div 2 Zon Utara sama ada SSN Perlis Thunderbolts atau Anderson@RASHA di separuh akhir.
Peluang PPHT Thunderbolts juga masih terbuka di separuh akhir Rabu ini yang akan menentukan dua pasukan ke final keseluruhan Div 2 untuk merebut tiket ke Div 1 2027 sekali gus layak beraksi di Piala TNB musim ini.









