Penolong jurulatih Speedy Tigers, S Kumar meninggalkan sebentar tugasannya bersama skuad hoki negara yang ketika ini bersaingan di Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) untuk meluangkan masa selama sejam, berkongsi pengalaman serta memberi tunjuk ajar kepada 10 penjaga gol hoki daripada tiga buah sekolah.
Meskipun tempoh singkat tetapi pelajar-pelajar yang terlibat memperolehi pengalaman cukup berharga daripada bekas penjaga gol hoki terbaik Malaysia itu.
Kumar berkongsi beberapa teknik asas dan ciri-ciri yang perlu ada untuk seseorang pemain itu, menjadi penjaga gol terbaik pada masa akan datang.
“Penjaga gol adalah posisi yang tidak semua boleh bermain dan ia sangat penting kepada pasukan. Suka untuk saya berkongsi tunjuk ajar dan pengalaman dengan bakat-bakat muda ini.
“Saya percaya jika mereka berusaha keras dan miliki disiplin yang tinggi, pasti suatu hari mampu menjadi pemain berjaya,” katanya ketika ditemui di program berkenaan.
Program itu telah berlangsung di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gunung Rapat yang merupakan Sekolah Sukan Negeri Perak, hari ini.
Peserta bagi program bersama Kumar itu, terdiri daripada lima orang pelajar sekolah berkenaan iaitu dua lelaki, Muhammad Haziq Hisam berusia 14 tahun dan Muhamad Syamim Naqeeb (13) manakala Muhamad Suhail Hasif (12, Sekolah Kebangsaan Jelapang).
Bagi pelajar perempuan pula disertai oleh Nur Aina Liyana berusia 13 tahun, Nur Ariesha Abdul Rahim (15) dan Nur Adlin Husna Mohammad Amin (17).
Sementara, baki empat pelajar adalah dari SMK Raja Perempuan iaitu Nur Qaisara Azman berusia 13 tahun, Nur Erna Najihah (13), Nur Arissa SAfrina (13) dan Nur Husna Ismail (14).
Dalam perkembangan sama, Kejohanan Hoki bawah 17 tahun Piala Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Perak dengan kerjasama Persatuan Hoki Perak turut diadakan minggu ini, sempena penganjuran PSAS edisi ke-30.