Lapan Pasukan Sah Ke Separuh Akhir TNB Piala Tun Abdul Razak 2025

Saingan TNB Piala Tun Abdul Razak 2025 kini semakin mendebarkan apabila lapan pasukan terbaik iaitu empat lelaki dan empat wanita mengesahkan tempat ke separuh akhir, dengan masing-masing memburu tiket ke pentas final.

 

Dalam aksi separuh akhir yang dijadualkan berlangsung pada 10 Oktober ini di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, kategori lelaki bakal menyaksikan dua pertembungan menarik membabitkan juara bertahan, Terengganu menentang Melaka, manakala Pahang akan berdepan ATM.

 

Untuk kategori wanita pula, skuad remaja kebangsaan, Young Tigress akan menentang Pahang, manakala Selangor dijangka bakal menerima tentangan hebat daripada Melaka.

 

Aksi terakhir Kumpulan A lelaki hari ini menyajikan kejutan apabila Terengganu tewas 3-4 kepada ATM namun masih mampu mengekalkan kedudukan pendahulu menerusi kelebihan gol.

 

Keputusan itu bagaimanapun memberi berita gembira buat ATM apabila berjaya merampas kedudukan naib juara Kumpulan A daripada Kuala Lumpur dan layak ke separuh akhir dengan penuh bergaya.

 

Dalam satu lagi perlawanan, PDRM menamatkan kempen mereka dengan kemenangan 5-3 ke atas Perlis, manakala Sabah terpaksa berhempas pulas sebelum berjaya menewaskan Kedah 2-1 dalam perlawanan yang sengit hingga ke saat akhir.

 

Bagi aksi klasifikasi, Perak akan menentang Kuala Lumpur bagi penentuan tempat ke-5 dan ke-6, Perlis berdepan Negeri Sembilan (ke-7/8), Sabah bertemu Pulau Pinang (ke-9/10) dan PDRM melawan Selangor (ke-11/12).

 

Sementara itu, saingan wanita terus memperlihatkan kekuatan skuad muda negara apabila Young Tigress mengekalkan rekod kemenangan bersih selepas menundukkan Perak 3-0 dan Melaka turut garang apabila membelasah Kuala Lumpur 5-1 dalam aksi Kumpulan A.

 

Kumpulan B pula menyaksikan Selangor terus mempamerkan taring apabila menewaskan Terengganu 4-0, manakala Pahang diikat 2-2 oleh Sabah.

 

Selain empat pasukan utama yang bakal beraksi di separuh akhir, penentuan kedudukan turut menjadi tumpuan apabila Perak dijadual menentang Sabah bagi perebutan tempat ke-5 dan ke-6, sementara Negeri Sembilan bakal berdepan Pulau Pinang untuk menentukan kedudukan ke-7 dan ke-8.

 

Terengganu akan menentang Kuala Lumpur bagi menentukan kedudukan ke-9 dan ke-10, di mana semua aksi klasifikasi akan berlangsung esok (9 Oktober).

 

Kejohanan edisi ke-63 bagi lelaki dan ke-10 bagi wanita semakin menghampiri fasa kemuncak.

 

Dengan barisan pasukan terbaik sudah dikenal pasti, peminat hoki pastinya menanti aksi separuh akhir yang dijangka akan berlangsung dengan penuh dramatik, pantas dan sarat dengan semangat juang tinggi sekali gus memberi cerminan keghairahan hoki tanah air.