Perebutan lapan slot ke Suku Akhir Piala TNB, TNB Liga Hoki Malaysia (TNB MHL) 2025, Premier dilihat semakin menarik dengan semua 10 pasukan masih memiliki peluang mengisi slot berkenaan.
Aksi terakhir liga dilihat, menjadi penentu buat lapan pasukan tersebut mengesahkan slot di suku akhir Piala TNB yang bakal bermula pada 18 Februari ini.
Pada aksi hari ini, Liaoning Men’s Hockey Team berpeluang menamatkan saingan TNB MHL 2025, Premier dikedudukan lima terbaik selepas menidakkan cabaran TNB Thunderbolts 4-2.
Perlawanan yang berlangsung di Padang 2 Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, menyaksikan Liaoning Men’s membuka tirai jaringan pada minit ke-14 menerusi Zhao Yulai yang menyempurnakan penalti stroke.
Lin Changliang menggandakan kedudukan pada minit ke-23 menerusi gol padang dan Wang Yubo menyempurnakan pukulan sudut penalti bagi meletakkan Liaoning Men’s Hockey Team selesa mendahului 3-0.
Memasuki suku ketiga, TNB Thunderbolts merapatkan kedudukan apabila menjaringkan dua gol menerusi Shafiq Ammar Fahmi Suzaini dan Muhammad Fahmi Khalid, hasil gol padang pada minit ke-32 dan m-34 namun Changliang sekali lagi menemui sentuhan penyudah untuk jaringan keempat buat Liaoning Men’s Hockey Team.
Sementara itu, Armed Forces HT tewas 1-3 kepada Tenaga Nasional Berhad manakala UiTM HA-KPT melakar kemenangan 3-1 ke atas Territory Stingers.
Beralih kepada saingan wanita, Negeri Sembilan meraih kemenangan 1-0 ke atas Territory Stingers untuk kekal di tangga kedua TNB Liga Hoki Malaysia (TNB MHL) 2025, Wanita.
Gol tunggal itu hadir pada penghujung perlawanan menerusi gol padang Nuraslinda Said bagi memberi kemenangan ketiga buat Negeri Sembilan daripada lima perlawanan diharungi.
Dalam satu lagi perlawanan, menyaksikan Armed Forces HT tunduk 0-1 kepada Malaysian University.









