Sasaran layak ke Piala Dunia Remaja Wanita 2025 secara merit menjadi misi utama Young Tigress yang bakal bersaing di Kejohanan Hoki Piala Remaja Asia (Wanita) 2024 Al Amarat Muscat, Oman pada 7 hingga 15 Disember.

 

Lima slot ke Piala Dunia ditawarkan buat pasukan yang bersaing di kejohanan kelayakan tersebut dengan Malaysia diundi dalam Kumpulan A bersama India, China, Thailand dan Bangladesh sementara Kumpulan B menampilkan Jepun, Korea, Hong Kong China, Chinese Taipei dan Sri Lanka.

 

Menerusi pengumuman barisan 20 pemain yang dikeluarkan hari ini, Pengurus Pasukan, Young Tigress, Dato’ Haji Mohd Saiyuti Abd Samat, menjelaskan pasukan remaja negara yang dibarisi oleh 11 pemain yang telah meraih pengalaman beraksi bersama pasukan senior sebelum ini, disasarkan untuk layak ke Piala Dunia Remaja Wanita secara merit buat kali pertama dalam sejarah.

 

Menurutnya lagi, Ketua Jurulatih Pasukan Remaja Wanita Negara, Lailin Abu Hassan bersama barisan kejurulatihan telah melakukan tugas dengan baik bagi membangunkan pasukan ini dan kepercayaan diletakkan sepenuhnya untuk keputusan positif dijelmakan oleh Young Tigress.

 

“Pada tahun 2022, Malaysia ke Piala Dunia Remaja Wanita selepas Jepun menarik diri, jadi untuk tahun 2025, saya mensasarkan untuk Pasukan Remaja Wanita Kebangsaan layak ke Piala Dunia secara merit sekaligus mencipta sejarah tersendiri kerana Malaysia tidak pernah layak secara merit sebelum ini.

 

“Pemain-pemain ini mempunyai bakat dan boleh pergi lebih jauh. Setiap daripada pemain dalam pasukan sedar dengan tanggungjawab dan misi yang mereka bawa pada kejohanan ini. Saya mahu mereka fokus untuk memberikan yang terbaik dan saya yakin dengan keharmonian yang telah dipupuk di dalam pasukan ini akan membantu mereka untuk meraih kejayaan,” jelasnya.

 

Sementara itu, Pengendali Pasukan Remaja Wanita Kebangsaan, Lailin Abu Hassan menjelaskan pasukannya telah menjalani beberapa fasa latihan persiapan sebelum senarai 20 pemain dimuktamatkan. Ini termasuk dengan beraksi sebagai satu pasukan di Kejohanan TNB Piala Tun Abdul Razak 2024 yang menyaksikan Young Tigress muncul selaku juara bagi kategori wanita.

 

“Pemain ini dipilih daripada beberapa kejohanan lalu termasuk TNB Liga Hoki Malaysia, TNB Liga Hoki Remaja Malaysia, SUKMA Sarawak dan TNB Piala Tun Abdul Razak.

 

“11 daripada pemain telah meraih caps bersama pasukan senior kebangsaan dan 10 daripada mereka beraksi di Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia baru-baru ini.

 

“Hanya penjaga gol, Nur Hazlinda yang tidak menyertai kejohanan tersebut namun pengalaman yang dimiliki ketika di Kejohanan Kelayakan Sukan Olimpik pada Januari lalu serta turut bersama pasukan senior ketika Siri Jelajah Cardiff, Ogos lalu, pastinya berguna buat pasukan.

 

“Kami berada di dalam Kumpulan A di mana ini merupakan kumpulan yang cukup kuat. Bagaimanapun saya bersama barisan kejurulatihan akan membuat perancangan sebaik mungkin daripada satu perlawanan ke satu perlawanan.

 

“Untuk saya, perlawanan dengan India dan China kami akan cuba sebaik mungkin untuk mencuri mata namun pertemuan dengan Thailand dan Bangladesh adalah aksi wajib memang.

 

“Saya juga sentiasa mengingatkan pemain untuk tidak sesekali mengambil mudah dalam mana-mana perlawanan bagi memastikan matlamat utama pasukan tercapai,” ujar beliau yang mahu melihat pemain-pemainnya bermain bermati-matian dengan semangat juang serta keazaman yang cukup tinggi bagi membawa Malaysia ke Piala Dunia Remaja 2025.

 

Berikut merupakan senarai 20 pemain Skuad Remaja Wanita Kebangsaan yang bakal beraksi di Kejohanan Piala Remaja Asia (Wanita) 2024, Oman.

NO NAMA POSISI UMUR
1 Nur Hazlinda Zainal Abidin Penjaga Gol 21
2 Sazanianie Sabinus Penjaga Gol 20
3 Anith Humaira Baharudin Pertahanan 21
4 Zawiatul Akma Hartomo Pertahanan 20
5 Nur Shafika Ahmad Kamil Pertahanan 21
6 Nur Syahirah Azwan Pertahanan 20
7 Nor Farida Sulaiman Pertahanan 21
8 Nur Aisyah Che Musa Tengah 19
9 Siti Nur Irdina Mohd Nor Tengah 20
10 Thibatharshini James Tengah 21
11 Siti Nur Atika Shaikh Maznan Tengah 21
12 Nor Zulaikha Nazihah Tamjit Tengah 20
13 Nurdini Batrisyia Mohd Ridzuan Tengah 18
14 Nurshamine Azureen Mohammed Badusha Penyerang 19
15 Zati Alyani Muhammad Zubir Penyerang 19
16 Azmyra Mia Sofea Azhairy Penyerang 20
17 Noor Asyiqin Syakirah Noor Hisyam Penyerang 20
18 Nur Iman Adawiyah Mohd Suhaimi Penyerang 18
19 Nur Atirah Fitriah Syamsul Dzuanizam Penyerang 20
20 Nur Atiqah Najwa Sutimi Penyerang 19

 

Berikut merupakan barisan Pengurusan dan Kejurulatihan yang akan bersama Kejohanan Piala Remaja Asia (Wanita) 2024, Oman.

NO NAMA POSISI
1. Dato’ Haji Mohd Saiyuti Abd Samat Pengurus Pasukan
2. Mohd Nasihin Nubli Ibrahim Penolong Pengurus Pasukan
3. Lailin Abu Hassan Ketua Jurulatih
4. Siti Rahmah Othman Penolong Jurulatih
5. Mohamad Sabri Mohamad Penolong Jurulatih

 

Berikut merupakan jadual perlawanan Skuad Remaja Wanita Kebangsaan di Kejohanan Piala Remaja Asia (Wanita) 2024, Oman bagi Kumpulan A.

NO HARI / TARIKH MASA PERLAWANAN
1. SABTU : 7 DISEMBER 2024 6:30 PETANG MALAYSIA lwn THAILAND
2. ISNIN : 9 DISEMBER 2024 11:00 MALAM MALAYSIA lwn INDIA
3. RABU : 11 DISEMBER 2024 8:45 MALAM BANGLADESH lwn MALAYSIA
4. KHAMIS : 12 DISEMBER 2024 8:45 MALAM MALAYSIA lwn CHINA

 

** Waktu Perlawanan Adalah Waktu Malaysia