Malacca High School HT dinobatkan sebagai juara Divisyen 2, TNB Liga Hoki Remaja Malaysia (TNB MJHL) 2024 selepas menewaskan MSNS/PHS/SSMS (Sabah) 2-0 menerusi ‘penalty shootout’.

Aksi final yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, hari ini, tentangan sengit ditampilkan oleh kedua-dua pasukan apabila pemenang terpaksa ditentukan menerusi ‘penalty shootout’, selepas mereka terikat 2-2 pada masa penuh permainan.

Pada aksi itu, Malacca High School HT terlebih dahulu membuka tirai jaringan pada minit keempat menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan oleh Safuwan Sharudin.

Namun MSNS/PHS/SSMS (Sabah) bangkit dengan dua gol masing-masing diledak oleh Elazer Brendley Elday pada minit ke-18 menerusi gol padang dan Muhammad Rafiq Muhamad Raze (m-24, pukulan sudut penalti).

Ketika tujuh minit menuju ke wisel penamat, Muhammad Faris Lukman Amirudin kembali menyamakan kedudukan selepas menyudahkan pukulan sudut penalti bagi mengheret perlawanan ke ‘penalty shootout’ untuk menentukan pemenang.

Penjaga gol Malacca High School HT, Muhammad Syakir Md. Zdullkepele menjadi wira pasukan apabila menafikan kesemua pukulan ‘penalty shootout’ yang dilakukan pemain-pemain MSNS/PHS/SSMS (Sabah), ketika Muhammad Naqib Asyraf Abdullah dan Safuwan Sharudin menyudahkan pukulan berkenaan untuk memastikan pasukan dari Melaka itu muncul juara.

Ketua jurulatih Malacca High School HT, Muhammad Fahmi Zulkifli Auni memuji kerja keras pemain-pemainnya yang mengikut taktikal yang dirancang oleh barisan kejurulatihan.

Katanya, ia adalah kejayaan yang manis untuk dirinya kerana pasukan ini mula dibentuknya pada tahun 2020 dan hasilnya dapat dituai pada tahun ini.

“Secara keseluruhannya semua pemain mengikut segala taktikal yang diberi dan paling penting mereka sabar dengan apa yang dilakukan pasukan lawan, maksudnya mereka terus bermain tanpa ada rasa berputus asa daripada suku pertama hingga suku keempat dan ini kejayaan untuk mereka.

“Kemenangan ini sangat bermakna bagi saya kerana ini adalah pasukan yang mula dibentuk oleh saya pada tahun 2020 dan ia adalah proses jangka panjang.

“Pemain juga menghadiahkan kemenangan ini kepada saya kerana pada minggu lepas saya terpaksa meninggalkan pasukan kerana mak saya baharu meninggal dunia dan mereka membuktikan bahawa ini merupakan kenangan paling manis untuk dihadiahkan juga kepada diri sendiri, ibu bapa dan juga sekolah,” katanya selepas perlawanan.

Selepas ini, kedua-dua finalist Divisyen 2 iaitu Malacca High School HT dan MSNS/PHS/SSMS (Sabah) akan beraksi di suku akhir Piala TNB, selain layak bermain di Divisyen 1 pada edisi depan.

Dalam pada itu, pemain MSNS/PHS/SSMS (Sabah), Alves Christiano James dinobatkan sebagai Penjaring Gol Terbanyak kejohanan dengan mengumpul 16 gol keseluruhan sekaligus membawa pulang medal dan wang tunai berjumlah RM500.

Manakala Anugerah Pemain Terbaik final menjadi milik Muhammad Syakir Md. Zdullkepele dari pasukan Malacca High School HT.

Sementara itu, Young Lion SSN Perlis Thunderbolts meraih tempat ketiga saingan Divisyen 2, TNB MJHL 2024 selepas menang 5-3 ke atas Negeri Sembilan menerusi ‘penalty shootout’ selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2 pada masa perlawanan sebenar.

Kekalahan itu menyaksikan Negeri Sembilan terpaksa berpuas hati dikedudukan keempat pada saingan edisi ini.

Keputusan hari ini:
(Tempat ketiga/keempat)
YOUNG LIONS SSN PERLIS THUNDERBOLTS 2 (5)-(3) 2 NEGERI SEMBILAN
(Final)
MALACCA HIGH SCHOOL HT 2 (2)-(0) 2 MSNS/PHS/SSMS (SABAH)

Tags: