Malaysia Alih Fokus Penentuan Kedudukan 9 hingga 16

Skuad Hoki Remaja Lelaki Kebangsaan kini mengalihkan tumpuan untuk memburu kedudukan terbaik dalam kelompok 9 hingga 16 selepas tewas 1-3 kepada England pada aksi terakhir Kumpulan E, Piala Dunia Remaja 2025 di Stadium Hoki Antarabangsa Madurai, hari ini.

 

Keputusan itu meletakkan Malaysia berada di tangga ketiga Kumpulan E dengan mengumpul 3 mata hasil satu kemenangan dan dua tewas manakala Belanda gah dikedudukan teratas dengan mengutip 9 mata penuh, layak ke pusingan suku akhir dan England pula tangga kedua (6 mata).

 

Young Tigers yang turun dengan misi memburu kemenangan dikejutkan seawal minit ke-4 apabila pukulan sudut penalti Henry Markham menerjah gawang untuk meletakkan England mendahului 1-0.

 

Tersentak dengan jaringan itu, skuad muda negara cuba memperkemaskan rentak permainan dan beberapa kali menguji kubu lawan, namun buntu dalam mencari penyudah terbaik bagi merobek gawang lawan.

 

Memasuki suku kedua, permainan bertambah rancak dengan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan, namun ketumpulan penyudah menyebabkan kedudukan kekal sehingga tamat babak pertama.

 

England kemudian menggandakan kedudukan pada minit ke-36 menerusi gol padang Michael Royden, sebelum Young Tigers kembali menghidupkan peluang apabila Azimuddin Shakir Kamaruddin menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-47 untuk merapatkan jurang.

 

Gol itu nyata menaikkan semangat skuad bimbingan Nor Saiful Zaini Nasiruddin yang terus melancarkan beberapa serangan berbahaya, namun usaha mereka dipatahkan benteng terakhir England.

 

Ketika Malaysia rancak memburu gol penyamaan, England sekali lagi menghukum kelekaan pertahanan apabila Alex Chihota menjaringkan gol padang pada minit ke-57 untuk memastikan kemenangan 3-1 milik mereka.

 

Pengendali Young Tigers, Nor Saiful Zaini Nasiruddin, mengakui pemainnya telah mempamerkan semangat juang yang tinggi tetapi perlu lebih klinikal dalam situasi penting. Jelasnya, banyak aspek positif dipamerkan barisan mudanya sepanjang perlawanan tersebut.

 

Beliau turut memuji ketahanan benteng pertahanan yang hanya dibolosi sekali menerusi situasi pukulan sudut penalti (PC) meskipun England memperoleh 16 peluang daripada situasi berkenaan.

 

“Secara keseluruhan, kita bermain dengan baik. Memang tujuan kami dalam perlawanan ini adalah untuk mengenal pasti kelemahan sebelum memasuki saingan penentuan tempat ke-9 hingga 16.

 

“Daripada segi aksi, ia seimbang. Kita menyerang, kita bertahan, tetapi England berjaya memanfaatkan peluang dan menjaringkan tiga gol.

 

“Daripada 16 PC yang mereka dapat, kita hanya bolos satu. Itu menunjukkan pertahanan kita berada pada tahap baik. Kita juga beberapa kali berjaya masuk ke kawasan D lawan dan mencipta peluang, cuma kita hanya dapat menjaringkan satu gol. Bahagian penyudah ini yang perlu diperhalusi lagi,” katanya.

 

Walaupun esok merupakan hari rehat, Malaysia terpaksa menempuhi perjalanan berpindah venue ke Chennai bagi aksi seterusnya dan lawan yang bakal dihadapi bagi penentuan tempat ke-9 hingga 16 akan diketahui esok.

 

“Daripada lapan pasukan di kelompok penentuan ini, kita berada dalam kelompok lima terendah, jadi kemungkinan kita akan bertemu Australia, Afrika Selatan atau Switzerland.

 

“Kita perlu memahami corak permainan mereka, dan esok kita akan melakukan persiapan lebih terperinci untuk memastikan kita menang perlawanan seterusnya,” ujarnya.