Kebangkitan Pasukan Lelaki Negara ketika mengikat Kazakhstan 3-3 pada Kejohanan Piala Asia Hoki Dalam Dewan Taldykorgan, Kazakhstan, memastikan Malaysia kekal dengan rekod tanpa kalah sekaligus peluang untuk ke pusingan kedua dilihat kekal realistik.
Malaysia yang berkongsi empat mata bersama Kazakhstan selepas dua perlawanan akan turun menentang Indonesia pada aksi terakhir pusingan pertama, Kumpulan B bertemu Indonesia jam 8.45 malam ini.
Perlawanan terakhir itu juga menyaksikan Malaysia hanya memerlukan keputusan seri untuk melangkah ke pusingan kedua sementara Indonesia memerlukan kemenangan untuk menidakkan impian Malaysia.
Ketua Jurulatih Skuad Hoki Dalam Dewan Lelaki Kebangsaan, Mohd Rodzhanizam Mat Radzi memuji barisan pemainnya yang bangkit mencari jaringan untuk mengikat Kazakhstan 3-3.
“Alhamdulillah kami kekal tidak tewas dan pemain telah memberikan tentangan kepada Kazakhstan dengan bangkit daripada ketinggalan untuk menamatkan perlawanan dengan satu mata.
“Pasukan sedar lawan kami, Kazakhstan merupakan satu pasukan yang kuat dan telah melakukan persiapan rapi jadi kami telah menjangkan satu perlawanan yang bukan mudah perlu kami lalui.
“Malam ini kami akan turun dengan matlamat mencari kemenangan ke atas Indonesia dan kami tidak akan mengambil mudah mahupun leka pada aksi itu nanti.
“Perlawanan terakhir kumpulan itu juga penting untuk kami memastikan kami menutup aksi kumpulan dengan cemerlang dan seterusnya layak ke pusingan kedua (empat pasukan terbaik).
“Masa rehat yang singkat ini akan kami gunakan sebaiknya untuk melakukan persiapan akhir sebelum turun menentang Indonesia,” jelasnya.
Pada pertemuan dengan Kazakhstan, Malaysia terlebih dahulu dikejutkan dengan gol gerakan padang oleh Tashkeyev Yermek pada minti kedua sebelum kelebihan pukulan sudut penalti yang dimiliki Malaysia di minit ke-15 berjaya menghasilkan gol penyamaan menerusi Faridzul Afiq Mohd.
Bagaimanapun Kazakhstan dilihat menggandakan asakan dan meraih pukulan sudut penalti pada minti ke-17 di mana Tashkeyev Yermek sekali lagi menyumbang gol buat pasukannya.
Minit ke-34, Malaysia dikejutkan dengan gol ketiga Kazakhstan kali ini Duisengazy Agymtay menjaringkan gol padang. Sedar akan kepentingan untuk tidak boleh tewas, Malaysia bangkit mencari kelebihan pukulan sudut penalti dan minit ke-38, kelebihan tersebut berjaya diraih dengan Kapten pasukan, Muhammad Najmi Farizal Jazlan menterjemahkannya kepada jaringan.
Jaringan penyamaan Malaysia hadir seminit kemudian selepas satu lagi kelebihan pukulan sudut penalti dimiliki dan gol Najmi Farizal Jazlan menutup perlawanan dengan Malaysia mengikat Kazakhstan 3-3.