Jaringan hatrik pemain berpengalaman Muhammad Razie Abd Rahim menyumbang kemenangan besar 7-2 Skuad Senior Lelaki Kebangsaan ke atas Afrika Selatan dalam Kejohanan Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh yang berlangsung hari ini.
Segala kritikan ke atas ketumpulan di bahagian serangan serta kelemahan dalam menyempurnakan pukulan sudut penalti dibalas hari ini dengan amukan pesta gol oleh Skuad Bimbingan A. Arulselvaraj yang bangkit setelah ketinggalan 1-0 kepada Afrika Selatan dalam babak pertama yang tertunda akibat hujan lebat Jumaat lalu.
Seperti dalam kemenangan 4-1 ke atas Mesir semalam, Malaysia bermula garang dengan rentak menyerang dari minit pertama perlawanan dan sebaik bermula suku kedua, Malaysia terus menghidu peluang dan usaha mereka membawa kepada gol penyamaan melalui pukulan sudut penalti oleh Razie pada minit ke-18.
Walaupun pada mulanya tolakan Razie berjaya ditampan oleh penjaga gol Afrika Selatan, Estiaan Kriek, namun pemain berusia 35 tahun itu berjaya menolak masuk bola muntah daripada penjaga gol tersebut.
Gol pertama itu seperti menyuntik semangat kepada pemain-pemain Malaysia yang meneruskan momentum menyerang dan hanya dua minit kemudian, Malaysia dihadiahkan penalti strok apabila flik pukulan sudut penalti oleh Razie Rahim ditampan pemain pertahanan Afrika Selatan di atas garisan gol menggunakan badan.
Razie Rahim dengan tenang menyempurnakan pukulan penalti strok itu untuk meletakkan Malaysia di hadapan pada minti ke-20.
Tidak cukup dengan itu, Malaysia terus mengasak untuk melebarkan jurang jaringan dan dua gol padang berturut-turut menerusi Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi pada minit ke-23 dan Mohd Azrai Aizad Abu Kamal seminit kemudian meletakkan Malaysia dalam keadaan selesa, mendahului 4-1 pada akhir separuh masa pertama.
Permainan sekali lagi tergendala akibat hujan lebat selama 90 minit dan apabila suku ketiga bermula, Afrika Selatan terus menyerang untuk merapatkan jurang gol dan percubaan mereka berhasil pada minit ke- 35 apabila Connor Beauchamp berjaya menyumbat masuk bola pukulan sudut penalti.
Jaringan tersebut tidak mematahkan semangat skuad negara, sebalinya terus membakar api pejuangan mereka, dan Malaysian Tigers mula menyusun semula permainan.
Malaysia kembali kepada rentak agresif dengan serangan bertali-arus dan pada minit ke-38, Azrai Aizad berjaya melorongkan bola kepada Shello Silverius yang menunggu di hadapan pintu gol untuk menolak masuk bola tersebut sekaligus ia menyaksikan gol itu merupakan jaringan ke-4 peribadinya dalam kejohanan ini.
Kembali selesa di hadapan dengan kedudukan 5-2, fokus Malaysia tidak luntur, malah mereka terus mengawal permainan dan meneruskan rentak menyerang, hingga meraih satu lagi pukulan sudut penalti pada minit ke-43.
Pada ketika Razie Rahim berada di luar padang, Kapten, Muhammad Najmi Farizal Jazlan menggalas tugas selaku fliker dan menyempurnakan pukulan sudut penalti tersebut untuk Malaysia terus selesa didepan 6-2.
Memasuki suku terakhir perlawanan, Malaysia meneruskan persembahan bertenaga dan Razie Rahim melengkapkan jaringan hatriknya melalui pukulan sudut penalti pada minit ke-51.
Kemenangan ini melonjakkan Malaysia ke tempat kedua dalam saingan round robin enam pasukan dan memerlukan satu lagi kemenangan atau setidak-tidaknya keputusan seri pada aksi menentang Jepun esok untuk memastikan tiket ke perlawanan akhir.
Esok merupakan perlawanan ke-5 dan terakhir pusingan round robin, di mana pendahulu, Korea Selatan akan bertemu Afrika Selatan pada jam 4 petang, sementara Mesir akan menentang Pakistan dalam perlawanan kedua bermula jam 6 petang, sebelum Malaysia bertemu Jepun pada jam 8 malam.