Skuad Hoki Wanita Kebangsaan membuka tirai kempen Sukan SEA 2025 di Thailand dengan momentum positif dalam pemburuan pingat emas apabila menewaskan Singapura 3-0, hari ini.
Kemenangan itu menjadi pemangkin keyakinan awal buat skuad negara yang bertekad mempertahankan emas yang dimenangi pada edisi lalu.
Dalam aksi yang berlangsung di National Sports University, Chonburi, Malaysia tampil garang sejak wisel permulaan dengan menguasai permainan, selain melancarkan serangan berterusan ke kubu lawan.
Hasil dominasi itu akhirnya membuahkan jaringan pertama pada minit ke-24 apabila Anith Humaira Baharudin tenang menyempurnakan pukulan penalti stroke untuk membuka tirai gol negara.
Pada minit ke-31, Nuramirah Shakirah Zulkifli menggandakan kedudukan menerusi pukulan sudut penalti (PC) yang tepat dan bertenaga, membolehkan skuad negara selesa mendahului 2-0.
Kesabaran jentera serangan berdepan Singapura yang bermain secara bertahan di kawasan sendiri, akhirnya menghasilkan gol ketiga pada minit ke-53 apabila Nur Afiqah Syahzani Azhar menyempurnakan satu lagi pukulan sudut penalti.
Ketua Jurulatih Hoki Wanita Kebangsaan, Nasihin Nubli Ibrahim, bagaimanapun mengakui keadaan padang baharu sedikit menjejaskan kelancaran permainan. Menurutnya, lantunan bola yang tidak sekata menyukarkan Malaysia untuk mengekalkan tempo pantas yang menjadi identiti pasukan Malaysian Tigress.
Beliau turut menyatakan pemain berasa sedikit kecewa kerana mereka percaya mampu menjaringkan lebih banyak gol.
“Alhamdulillah kita dapat tiga mata pertama. Kemenangan dan jumlah jaringan ini sebenarnya tidak menggambarkan tahap sebenar kita kerana keadaan padang yang baharu menyebabkan lantunan bola tidak sekata.
“Kita juga hanya sempat berlatih sejam semalam dan belum dapat menyesuaikan diri sepenuhnya,” katanya selepas perlawanan.
Nasihin turut berharap aksi seterusnya menentang Indonesia akan menyaksikan peningkatan prestasi apabila para pemain sudah lebih serasi dengan keadaan padang.
“Untuk perlawanan bertemu Indonesia, saya yakin kita akan beraksi lebih baik. Pemain juga saya nasihatkan supaya menganalisis permainan sendiri dan tampil lebih bersemangat memburu gol,” ujarnya.
Untuk rekod, pada temasya edisi lalu Malaysia berjaya merangkul pingat emas selepas menumpaskan Thailand 4-1 pada perlawanan akhir di Sukan SEA 2023, Kemboja.
Malaysia juga memegang status pasukan paling banyak memenangi pingat emas acara hoki wanita iaitu lapan kali, sejak penganjuran temasya dwitahunan 1997, Jakarta Indonesia hingga 2023 di Kemboja.









