Aksi pembukaan Kejohanan Piala Negara-Negara (Nations Cup) 2023-2024 yang berlangsung di Gniezno, Poland tamat dengan Pakistan mengikat Malaysia 4-4 pada aksi Kumpulan B itu.

Empat gol Malaysia hari ini terhasil daripada dua gol penalti stroke yang disudahkan oleh Mohd Fitri Saari sementara dua lagi gol masing-masing disumbangkan oleh Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal menerusi gerakan padang dan gol pukulan sudut penalti Faizal Saari.

Perlawanan bermula dengan kedua-dua pasukan dilihat mengatur strategi terbaik untuk mencari jaringan awal dan Malaysia pada minit keempat berjaya meraih kelebihan penalti stroke selepas pertahanan Pakistan melakukan kesilapan ketika cuba menyelamatkan percubaan Malaysia.

Kelebihan penalti stroke itu diterjemahkan kepada jaringan menerusi Mohd Fitri Saari dan berselang tiga minit kemudian, menerusi gerakan padang, Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal melebarkan jurang jaringan apabila kesilapan Abu Mahmood yang gagal mengawal bola dengan baik menyaksikan Azrai Aizad memanfaatkan kesilapan tersebut untuk mengatur gerakan solo yang menghasilkan gol.

Malaysia yang belum puas dengan dua gol yang terhasil terus merangka serangan ke kubu lawan dan pada minti ke-10, kelebihan pukulan sudut penalti berjaya dimiliki. Selepas dua pulukan sudut penalti berurut-turu, menerusi satu flik mencari sudut bawah sebelah kanan pintu gol lawan, Faizal Saari mencetak nama selaku penjaring pada minit ke-11.

Bersambung suku kedua, Pakistan dilihat cuba untuk bangkit mencari jaringan pertama dan mengatur serangan ke atas pintu gol Malaysia, namun percubaan mereka  pada minit ke-19 berjaya diselamatkan oleh penjaga gol negara, Muhamad Zaimi Mat Deris.

Minit ke-25 giliran Malaysia mengatur serangan untuk cuba menggandakan jaringan dengan kelebihan pukulan sudut penalti, bagaimanapun flik Syed Mohamad Syafiq  Syed Cholan diselamatkan pertahanan Pakistan dan kedudukan 3-0 kekal menutup aksi separuh masa pertama.

Memasuki suku ketiga, dua minti selepas perlawanan kembali bersambung, gol yang dinantikan Pakistan berjaya diraih selepas Abdul Rehman yang tidak dikawal di hadapan pintu gol Malaysia berjaya menyambut bola lorongan Ashraf Waheed Rana untuk jaringan pertama Paksitan terhasil.

Bagaimanapun minit ke-42, kekasaran yang dilakukan oleh pemain Pakistan ke atas Faizal Saari dalam kawasan gol mereka mengakibatkan Malaysia dihadiahkan dengan satu lagi penalti stroke dan Fitri Saari sekali lagi memastikan kelebihan tersebut diterjemahkan kepada jaringan untuk Malaysia terus selesa 4-1 mendahului Pakistan.

Pakistan yang tidak menyerah kalah terus menggandakan usaha untuk mengejar kedudukan dan seminit selepas Malaysia menjaringkan gol, mereka dihadiahkan dengan pukulan sudut penalti dan kali ini Sufyan Khan mencatat nama selaku penjaring.

Suku terakhir perlawanan menyaksikan Pakistan terus mengejar kedudukan Malaysia dan mereka meraih jaringan ketiga pada minit ke-52 selepas empat kelebihan pukulan sudut penalti gagal diterjemahkan kepada jaringan, menerusi gerakan padang, Hannan Shahid mencetak gol ketiga Pakistan apabila menyudahkan bola muntah percubaan rakan sepasukannya.

Beberapa saat sebelum perlawanan sebenar tamat, Pakistan dihadiahkan dengan penalti stroke selepas situasi kelam kabut dalam kawasan gol Malaysia untuk menidakkan percubaan Pakistan. Abu Mahmood menjaringkan gol keempat Pakistan dan sekaligus menutup perlawanan dengan keputusan seri 4-4.

The Speedy Tigers akan berehat sehari sebelum menyambung aksi kedua Pool B pada Ahad (2 Jun) jam 9:30 malam, waktu Malaysia.

Tags: