Malaysia Ke Penentuan Tempat Ketiga, Jepun Lawan Menanti

Skuad hoki lelaki kebangsaan masih mempunyai peluang untuk melangkah ke Piala Dunia 2026 meskipun tewas 1-7 kepada England dalam aksi separuh akhir Kelayakan Piala Dunia 2026 di Ismailia, Mesir, sebentar tadi.

 

Keputusan itu menyaksikan Malaysia terlepas peluang untuk mengesahkan tiket automatik ke pentas dunia lebih awal namun perjuangan Speedy Tigers masih belum berakhir apabila mereka bakal beraksi dalam perlawanan penentuan tempat ketiga berdepan Jepun bagi memastikan peluang ke kejohanan berprestij itu terus terbuka.

 

Dalam perlawanan separuh akhir tersebut, England terlebih dahulu membuka jaringan menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan oleh Sam Ward pada minit ke-19 sebelum Samuel Hooper menambah gol kedua juga melalui situasi sama pada minit ke-36.

 

Skuad negara cuba memperkemaskan corak permainan pada separuh masa kedua, namun England berjaya memanfaatkan beberapa peluang yang terhidang apabila Thomas Sorsby meledak gol padang pada minit ke-42 diikuti jaringan Stuart Rushmere seminit kemudian.

 

Malaysia bagaimanapun tidak mengalah apabila berjaya meraih gol menerusi jaringan padang Faizal Saari pada minit ke-50 yang sekali gus memberikan suntikan semangat kepada pasukan negara.

 

Namun England kembali menambah tiga lagi gol pada penghujung perlawanan menerusi Zachary Wallace pada minit ke-54 sebelum Rushmere menjaringkan gol kedua peribadinya pada minit ke-59 dan Hooper melengkapkan kemenangan mereka melalui satu lagi pukulan sudut penalti pada minit ke-60.

 

Pengendali skuad negara, Sarjit Singh berkata secara keseluruhan anak buahnya tidaklah bermain terlalu teruk namun permainanan hari ini tidak memihak kepada mereka.

 

Jelasnya, berdepan Jepun esok, pasukannya tiada pilihan lain selain menang bagi mengesahkan tempat ke Piala Dunia.

 

“Bagi saya kita bermain baik, mereka (England) mendapat lima pukulan sudut penalti dan menjaringkan empat daripadanya. Terlalu banyak kesilapan individu dan pukulan dilakukan.

 

“Kami memberi gol mudah dan terus melakukan perkara sama. Kita perlu dan wajib menang perlawanan esok,” katanya selepas perlawanan.

 

Meskipun tewas, peluang Malaysia untuk beraksi di Piala Dunia 2026 masih belum tertutup sepenuhnya apabila skuad negara kini hanya perlu memastikan kemenangan dalam perlawanan penentuan tempat ketiga.

 

Jika berjaya menamatkan saingan di kedudukan tersebut, peluang Malaysia untuk melangkah ke kejohanan berprestij itu akan terus terjamin.

 

Sekiranya gagal, nasib skuad negara masih bergantung kepada keputusan satu lagi kejohanan kelayakan yang sedang berlangsung di Santiago, Chile, dengan peluang tetap wujud jika kedudukan ranking dunia Malaysia lebih baik berbanding pasukan yang menamatkan saingan di tempat keempat di sana.

 

Malaysia dijadualkan bertemu Jepun dalam perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat esok selepas pasukan dari Asia Timur itu tewas 3-4 kepada Pakistan dalam satu lagi aksi separuh akhir.