Skuad Hoki Lelaki Kebangsaan menutup kempen Kelayakan Piala Dunia 2026 Ismailia Mesir dikedudukan empat pasukan terbaik yang mana sekaligus membawa mereka ke Piala Dunia Lelaki 2026 di Belgium dan Belanda.
Walaupun tewas 4-5 kepada Jepun dalam aksi penentuan tempat ketiga hari ini, keputusan itu sudah memadai buat Speedy Tigers untuk mengesahkan kelayakan ke kejohanan berprestij yang dijadual berlangsung dari 14 hingga 30 Ogos depan di Belgium dan Belanda.
Pertemuan sengit itu menyaksikan kedua-dua pasukan saling berbalas jaringan sepanjang perlawanan. Jepun terlebih dahulu memecah kebuntuan menerusi jaringan padang Ooka Ryoma pada minit ke-15.
Malaysia bagaimanapun bangkit dengan tiga gol berturut-turut untuk mendahului perlawanan. Gol penyamaan hadir menerusi Fitri Saari pada minit ke-30 sebelum Marhan Mohd Jalil meletakkan skuad negara di depan dua minit kemudian hasil jaringan padang.
Malaysia terus menambah kelebihan apabila Syed Syafiq Syed Cholan menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-36 bagi memberikan kedudukan 3-1 kepada Speedy Tigers.
Namun Jepun kembali merapatkan jurang pada minit ke-38 menerusi jaringan padang Matsumoto Kazumasa dan momentum pasukan Matahari Terbit itu berterusan apabila Fujishima Raiki menyamakan kedudukan hasil pukulan sudut penalti pada minit ke-52.
Yamasaki Koji kemudian kembali meletakkan Jepun di depan apabila menjaringkan dua gol berturut-turut pada minit ke-55 dan ke-57 menerusi jaringan padang untuk meletakkan pasukannya kembali di depan.
Malaysia cuba bangkit semula apabila berjaya merapatkan kedudukan hasil satu lagi pukulan sudut penalti, namun usaha itu hadir agak lewat untuk menghalang kemenangan Jepun.
Meskipun terlepas kedudukan podium, ranking dunia Malaysia yang berada di tangga ke-15 membolehkan Speedy Tigers meraih slot ketujuh untuk beraksi di Piala Dunia 2026.
Pengendali Speedy Tigers, Sarjit Singh secara keseluruhan berpuas hati dengan prestasi yang dipamerkan anak buahnya sepanjang kempen kelayakan tersebut.
“Prestasi hari ini okay dan ada satu ketika kita mendahului 3-1, tetapi mungkin sebab keletihan kita gagal mempertahankan kedudukan.
“Namun perkara paling penting kita ke sini untuk layak ke Piala Dunia dan misi tercapai. Kini, kita ada masa tiga bulan untuk Kejohanan Piala Negara-Negara dan enam bulan untuk persiapan Piala Dunia. Kita perlu terus bekerja keras.
“Sekarang semua pemain perlu bekerja lebih keras dan sasaran seterusnya adalah Kejohanan Piala Negara-Negara. Kami akan balik dan adakan satu mensyuarat dengan pihak KHM (Konfederasi Hoki Malaysia) bagi merangka perancangan seterusnya,” katanya selepas perlawanan.









