Skuad hoki lelaki negara menunaikan janji untuk meraih kedudukan podium di Kejohanan Piala Asia 2025 di Rajgir, India apabila menewaskan China 4-1 dalam aksi penentuan tempat ketiga dan keempat, hari ini.
Speedy Tigers membuka tirai jaringan seawal minit kelapan menerusi pukulan sudut penalti disempurnakan Norsyafiq Sumantri.
Malaysia terus memberi tekanan bertali arus kepada benteng China dan ianya membuahkan hasil apabila Mohamad Akhimullah Anuar Esook menggandakan jaringan pada minit ke-36 melalui gol padang, sebelum sekali lagi meledak gol kedua peribadinya pada minit ke-50.
China cuba bangkit pada suku keempat dan berjaya merapatkan jurang menerusi pukulan sudut penalti Gao Jiesheng pada minit ke-54 namun kebangkitan itu tidak bertahan lama selepas Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan memastikan kemenangan mutlak menjadi milik Malaysia apabila menyumbat gol keempat pada minit ke-59, juga melalui pukulan sudut penalti.
Kemenangan itu memenuhi sasaran skuad hoki negara untuk menamatkan saingan di kedudukan podium dan mengubat kedukaan berikutan terlepas peluang untuk beraksi di pentas final bagi merebut tiket ke Piala Dunia 2026.
Ketua jurulatih skuad hoki lelaki kebangsaan, Sarjit Singh mengakui sasaran utama pasukannya adalah mara ke final namun mengakhiri kejohanan di kedudukan podium juga pencapaian yang perlu dibanggakan.
Katanya, secara keseluruhan persembahan pasukan di kejohanan ini adalah positif dan menunjukkan peningkatan dalam setiap perlawanan, dengan merekodkan jaringan sebanyak 33 gol dan dibolosi 11 gol.
“Pertama sekali semua pemain bermain dengan baik pada perlawanan hari ini selepas tewas semalam (kepada Korea Selatan) dan mereka berjaya bangkit untuk memenangi kedudukan podium.
“Sasaran kita adalah bermain di final tetapi berada di kedudukan podium juga bagus untuk pasukan. Penjaring terbanyak individu menjaringkan 12 gol dan jumlah keseluruhan kita menjaringkan gol di kejohanan ini adalah 33 gol dan melepaskan 11 gol.
“Jadi ia satu prestasi yang bagus. Para pemain menunjukkan peningkatan dan kita akan menjadi lebih baik. Seperti saya katakan sebelum ini, pasukan ini akan menjadi pasukan yang bagus tetapi perlukan masa. Ketika ini, kita berada di landasan yang tepat,” kata Sarjit selepas perlawanan.
Sarjit optimis peluang untuk melayakkan diri ke Piala Dunia 2026 masih ada namun persediaan rapi perlu dibuat sebelum menghadapi aksi kelayakan tahun depan.
“Paling penting macam semalam kita kalah dengan Korea Selatan, kita kehilangan 71 mata. Jika keputusan hari ini tidak memihak kepada kita mungkin akan memberi kita masalah terhadap kedudukan rankin tetapi disebabkan kita menang, kita masih kekal berada di kedudukan 12 dunia.
“Kedudukan ranking dunia sangat penting kerana apabila anda bermain di kelayakan Piala Dunia nanti. Kita harap kedudukan ranking mampu bantu kita,” jelasnya.









