Skuad Hoki Remaja Lelaki Kebangsaan akan meneruskan cabaran di Piala Dunia Remaja 2025 dengan bersaing bagi penentuan tempat ke-13 hingga 16 selepas tewas 1-3 kepada Afrika Selatan di Stadium Hoki Mayor Radhakrishnan, Chennai hari ini.
Pada aksi penentuan klasifikasi ke-9 hingga 16 itu menyaksikan suku pertama berlangsung sengit dengan kedudukan kekal 0-0 namun pada suku kedua Afrika Selatan mencetak gol menerusi sentuhan penyudah pukulan sudut penalti (PC) Jaydon Brooker pada minit ke-18.
Bersambung suku ketiga, Jaydon Brooker sekali lagi meledak gol juga menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-39 namun Malaysia bangkit merapatkan kedudukan sembilan minit kemudian menerusi gol penyudahan pukulan sudut penalti, Muhammad Aqil Danial Mat Ruslee.
Dua minit sebelum berakhir perlawanan, Afrika Selatan menambah gol ketiga menerusi Ross Montgomery yang menyudah satu lagi kelebihan pukulan sudut penalti.
Pengendali Young Tigers, Nor Saiful Zaini Nasiruddin menyifatkan pemain-pemain beraksi dengan baik namun ketajaman untuk menjaringkan gol menjadi masalah utama dalam pasukan.
Katanya, pasukan ini tidak mempunyai penjaring dan kurang bijak dalam mencari pukulan sudut penalti meskipun beberapa kali teguran dilakukan barisan kejurulatihan kepada pemain-pemain. Menurutnya lagi, pertahanan bermain dengan baik apabila berjaya menghalang 11 daripada 14 pukulan sudut penalti Afrika Selatan.
“Kita bermula baik pada keseluruhan permainan dan ada masuk dalam kawasan kotak D mereka kecuali menjaringkan gol. Pemain kami buntu bukan dalam perlawanan ini sahaja tetapi perlawanan-perlawanan sebelum ini juga.
“Hakikatnya kita tidak mempunyai penjaring dalam pertandingan ini. Bukan hanya pemain menyerang tetapi pemain tengah dan juga pertahanan mendapat bola dalam kawasan D lawan namun gagal menjaringkan gol.
“Mereka juga tidak pandai untuk mencari PC dan hanya mendapat tiga PC, sangat mengecewakan pada saya kerana perlawanan patut kita menang tetapi kalah 1-3.
“Daripada 14 PC yang dimiliki Afrika Selatan, mereka hanya menjaringkan 3 gol, jadi pertahanan bagi saya ok, cuma kita tidak boleh halang semua bola masuk. Apabila kita serang dan hilang bola Afrika Selatan melakukan serangan balas serta pandai mencari PC. Lawan memiliki fizikal yang baik,” kata Nor Saiful selepas perlawanan.
Bekas pemain kebangsaan itu, mengakui kekalahan dialami kepada Belanda, England dan Afrika Selatan berpunca daripada kesilapan sendiri dan tiada peningkatan terutama melibatkan jentera serangan.
“Ini kesilapan sendiri dan saya rasa pemain serangan perlu lihat apa mereka perlu lihat dalam perlawanan. Kita sudah beritahu dan buat analisa video serta tunjuk kepada mereka untuk tingkatkan prestasi tetapi tidak juga berubah.
“Jadi saya rasa inilah punca kekalahan dalam tiga perlawanan iaitu kepada Afrika Selatan, England dan Belanda,” jelasnya.









