Malaysia Tewas 1-3 Kepada Perancis

Pertemuan Malaysia dengan Perancis pada aksi kedua Pool B, Kejohanan Piala Negara-Negara (Nations Cup) 2023-2024 yang berlangsung di Gniezno, Poland tamat dengan Malaysia akur tewas 1-3 kepada pasukan di ranking ke-9 dunia itu.

Selepas dua perlawanan, Malaysia kini di kedudukan ketiga dalam Kumpulan dan laluan Malaysia untuk ke separuh akhir dilihat berliku selepas terpaksa mengharapkan Perancis menewaskan Pakistan pada perlawanan terakhir kumpulan selain perlu mencatatkan kemenangan besar ke atas Kanada pada perlawanan Rabu ini.

Sebaik suku pertama perlawanan bermula, Perancis yang kini dalam persiapan menjelang Sukan Olimpik 2024 (Paris), dilihat terus mengatur serangan ke dalam kawasan “D” Malaysia dan asakan yang dilancarkan menyaksikan Perancis dihadiahkan dengan tiga pukulan sudut penalti.

Pada minit kelima, menerusi pukulan sudut penalti ketiga, Timothée Clément akhirnya menembusi gawang Malaysia hasil flik terus mencari kawasan tengah pintu gol negara dan menewaskan Muhamad Zaimi Mat Deris.

Disebalik pintu gol negara terus diasak dengan serangan lawan, The Speedy Tigers dilihat turut melancarkan beberapa serangan balas untuk mencari jaringan penyamaan namun suku pertama ditutup dengan Perancis berkelebihan satu gol.

Memasuki suku kedua, Malaysia dihadiahkan dengan tiga pukulan sudut penalti masing-masing pada minti ke-17, 18 dan 24 namun kelebihan yang dimiliki masih belum berjaya untuk merobek pintu gol lawan.

Kesabaran The Speedy Tigers untuk kembali mengikat kedudukan akhirnya membuahkan hasil apabila menerusi gerakan padang pada minti ke-28, bola hantaran Mohd Fitri Saari ke hadapan pintu gol Perancis berjaya disudahkan oleh Faizal Saari menerusi satu tolakkan untuk Faizal mencetak nama selaku penjaring tunggal Malaysia.

Beberapa saat sebelum separuh masa pertama tamat, pintu gol Malaysia cuba diuji Perancis sekali lagi menerusi pukulan sudut penalti namun kelebihan tersebut berjaya dipatahkan untuk separuh masa pertama tamat kedua-dua pasukan terikat 1-1.

Bersambung suku ketiga, dua kelebihan pukulan sudut penalti dimiliki Malaysia pada minit ke-42 dan ke-43 namun kedua-dua flik yang dilakukan Faizal Saari dipatahkan. Bagaimanapun satu serangan balas pantas dilancarkan oleh Perancis daripada pukulan sudut penalti kedua Malaysia dan serangan tersebut menghasilkan gol kedua mereka.

Ketika barisan pertahanan Malaysia cuba mempertahankan pintu gol dari dibolosi, François Goyet menggunakan situasi kelam kabut dalam gawang Malaysia untuk melakukan tolakkan akhir menyudahkan hantaran daripada rakan sepasukannya dan Perancis di hadapan 2-1.

Suku terakhir perlawanan, Malaysia dan Perancis dilihat saling menggandakan asakan untuk memburu jaringan namun kedua-dua pasukan buntu untuk melakukan satu penyudahan yang terbaik.

Ketika perlawanan dilihat seakan berakhir, Perancis dihadiahkan dengan penalti stroke selepas pemain negara melakukan kekasaran di dalam kawasan gol Malaysia ketika Perancis melakukan percubaan jaringan.

Beberapa saat sebelum aksi Malaysia dan Perancis tamat, Etienne Tynevez menterjemahkan kelebihan penalti storke kepada jaringan dan perlawanan ditutup dengan kemenagan 3-1 milik Perancis.

Aksi terakhir Pool B akan berlangsung pada Rabu (5 Jun) di mana Malaysia akan membuat perhitungan dengan Kanada bagi menentukan kedudukan terakhir Malaysia dalam saingan kumpulan dan lawan yang akan ditemui pada aksi seterusnya.