Malaysia Tewas 3-4 Kepada Korea

Perlawanan keempat Skuad Senior Lelaki Kebangsaan dalam Kumpulan B, Temasya Sukan Asia 2022, Hangzhou, edisi ke-19 yang berlangsung di Gongshu Canal Sports Park Stadium berkesudahan dengan Malaysia tewas 3-4 kepada Korea.

Tiga gol pasukan negara yang terhasil hari ini disumbangkan oleh Mohamad Ashran Hamsani, Faizal Saari dan Muhammad Razie Abd Rahim. Keputusan hari ini juga menyaksikan Malaysia dan Korea berkongsi 9 mata keseluruhan selepas masing-masing mencatatkan tiga kemenangan dan satu tewas.

Bagaimanapun kelebihan 5 gol yang dimiliki pasukan negara meletakkan Malaysia di atas Korea dan perlawanan terakhir pusingan kumpulan yang menemukan Malaysia dengan China dan Korea menentang Oman akan menjadi penentu pasukan yang akan melangkah ke separuh akhir.

Pengendali Skuad Senior Lelaki Kebangsaan, A.Arulselvaraj nyata tidak gembira dengan kekalahan pasukan negara hari ini selain melihat pertemuan terakhir dengan China dalam pusingan kumpulan adalah misi hidup mati negara jika mahu melangkah ke separuh akhir.

“Kami tewas disebabkan kelekaan, kurang konsentrasi dan kurang peka dengan keadaan sekeliling serta kesilapan mudah yang tidak sepatutunya dilakukan. Kami membenarkan lawan bermain hantaran bola jauh dengan mudah.

“Kami akan berehat lebih kurang 48 jam sebelum turun bertemu China. Kami perlu turun dengan mencari kemenangan dan memastikan berapa jaringan yang kami perlukan untuk kami melangkah ke pentas separuh akhir,” jelas beliau.

Malaysia pada pertemuan dengan Korea terlebih dahulu membuka tirai jaringan pada minit kelima selepas Mohamad Ashran Hamsani menyudahkan hantaran rakan sepasukan sebelum Jang Jonghyun kembali menyamakan kedudukan menerusi penalti stroke pada minit ke-11.

Beberapa saat sebelum aksi separuh masa pertama berakhir, Malaysia menambah satu lagi gol menerusi kelebihan pukulan sudut penalti yang disudahkan oleh Faizal Saari untuk separuh masa pertama ditutup dengan kelebihan 2-1 untuk Malaysia.

Dua minit bersambung suku ketiga, Lee Nam Yong kembali mengikat kedudukan hasil gol padang dan seminit sebelum suku ketiga berakhir kedudukan berubah menjadi 3-3.

Ia bermula selepas Muhammad Razie Abd Rahim menyempurnakan penalti stroke yang dimiliki Malaysia sebelum beberapa saat kemudian Jang Jonghyun meledak gol kedua menerusi pukulan sudut penalti untuk aksi suku ketiga ditutup 3-3.

Seakan perlawanan dilihat akan berakhir dengan kedudukan seri, segalanya berubah selepas lima minit sebelum aksi perlawanan sebenar tamat, Korea dihadiahkan dengan penalti stroke dan Yang Jihun menjaringkan gol kemenangan Korea sekaligus aksi keempat ditutup dengan Malaysia tewas 3-4 kepada Korea.

Malaysia akan turun bertemu China bagi aksi terakhir  Kumpulan B Temasya Sukan Asia 2022 pada Isnin (2 Oktober) jam 8:45 malam.