Aksi keempat pusingan round robin yang tamat hari ini menyaksikan Malaysia tewas 1-9 kepada Belgium, yang merupakan pasukan ranking tertinggi (ketiga dunia) di Kejohanan Piala Sultan Azlan Shah 2025.
Perlawanan itu tetap menjadi medan penting buat pemain negara menimba pengalaman berharga menentang salah satu kuasa besar hoki dunia.
Berdepan pasukan yang dibarisi ramai pemain elit Eropah, Malaysia bermula dengan penuh semangat namun dibolosi pada minit ke-8 dan ke-11 menerusi gol pukulan sudut penalti oleh Tom Boon dan jaringan padang Thomas Crols.
Malaysia berjaya merapat jurang kedudukan pada minit ke-13 hasil gol padang Faizal Saari namun Belgium enggan membenarkan anak buah Sarjit Singh bangkit apabila Thibeau Stockbroekx menggandakan kedudukan menerusi jaringan padang dua minit kemudian.
Belgium terus menambah gol pada minit ke-24 hasil gol padang Roman Duvekot, Alexander Hendrickx (m-27 penalti stroke), Tommy Willems (m-30 pukulan sudut penalti), Tom Boon (m-38 penalti stroke), Victor Foubert (m-41 gol padang) dan Roman Duvekot (m-54 pukulan sudut penalti).
Walaupun dihujani serangan bertali arus, Malaysia tetap menunjukkan usaha tanpa henti, terutama dalam bertahan dan cuba melancarkan serangan balas cepat.
Aksi berdepan barisan pemain bertaraf dunia ini turut membuka ruang kepada pemain muda negara untuk mengukur kemampuan sendiri di pentas antarabangsa.
Saingan menentang lawan sekuat Belgium dianggap pengalaman penting menjelang perlawanan seterusnya, dengan pasukan kini lebih jelas mengenai aspek yang perlu dipertingkatkan dalam usaha memperkukuh persembahan sepanjang kejohanan.
Pengendali Speedy Tigers, Sarjit Singh mengakui perlawanan berdepan Belgium cukup mencabar tetapi daripada sudut positif ia memberi pengalaman cukup berharga buat para pemain.
Jelasnya, kesilapan mudah menyebabkan pasukannya dibolosi banyak gol dan perkara itu perlu diperbaiki segera menjelang aksi seterusnya.
“Perlawanan hari ini sangat mencabar dan perlawanan di tahap tertinggi. Kami sukar menyaingi kepantasan dan intensiti Belgium, namun ia jadi ukuran jelas aspek yang perlu kami kukuhkan, terutama bertahan sebagai satu unit dan pengurusan permainan.
“Kesilapan mudah menyebabkan kami memberi banyak pukulan sudut penalti serta penalti stroke kepada lawan, dan ia terus dihukum. Itu tidak sepatutnya berlaku, jadi fokus kami adalah kembali kepada disiplin, keputusan lebih tenang dan struktur lebih kemas,” katanya selepas perlawanan.
Tambah Sarjit, perlawanan berdepan Korea Selatan pada Sabtu ini amat penting dan beliau berharap pemain-pemainnya akan bangkit melupakan kekalahan hari ini dan kembali memburu kemenangan bagi mengejar kedudukan tiga terbaik pusingan round robin.
“Perlawanan Sabtu menentang Korea sangat penting. Harapan saya pemain bangkit dengan lebih yakin, bermain lebih tersusun 60 minit, dan memburu kemenangan. Peluang tiga teratas masih boleh dikejar jika kami dapat keputusan yang kami sasarkan,” ujarnya.









