Skuad Hoki Lelaki Kebangsaan terpaksa berpuas hati menutup tirai saingan Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) 2025 dikedudukan keempat selepas tewas 1-6 kepada New Zealand pada aksi penentuan tempat ke-3/ke-4, hari ini.
Keputusan itu, nyata sukar untuk ditelan selepas aksi pembukaan pusingan round robin menyaksikan Malaysia dan New Zealand menamatkan perlawanan dengan keputusan seri 2-2.
Pada aksi penentuan ini di Stadium Sultan Azlan Shah, Ipoh, segalanya serba tidak menjadi buat Speedy Tigers apabila membenarkan New Zealand mendapat dua gol pantas pada minit ke-5 dan ke-7 menerusi jaringan padang oleh Sam Lane.
Skuad negara yang berada di kedudukan ke-13 dunia cuba bangkit dengan mengatur beberapa gerakan namun berdepan kesukaran membolosi benteng pasukan ditangga ke-11 dunia itu.
Sebaliknya, Black Sticks menambah empat lagi gol menerusi gol padang James Hickson pada minit ke-29, disusuli tiga lagi jaringan dicetak penjaring sama iaitu Sam Lane hasil dua pukulan sudut penalti (m-33,m-34) serta penalti stroke (m-41).
Malaysia bagaimanapun enggan menyerah kalah apabila tetap bersemangat memburu gol dan hasilnya Faizal Saari berjaya menyudahkan penalti stroke pada minit ke-43, namun usaha untuk Speedy Tigers menambah jumlah jaringan tidak kesampaian sekali gus terpaksa menerima kekalahan ini.
Ketua Jurulatih Speedy Tigers, Sarjit Singh mengakui dibolosi dua gol awal memberi kesukaran kepada pemain dan sekiranya semua peluang dicipta mampu dimanfaatkan dengan sebaik mungkin dalam bentuk jaringan sudah pasti keputusan bakal berbeza.
Jelasnya, secara keseluruhan beliau bangga dengan pemain-pemain yang berjaya menunjukkan semangat juang tinggi dan tidak mudah putus asa meskipun telah dibolosi lima gol dan Sarjit menegaskan bahawa anak buahnya bermain lebih baik daripada New Zealand pada suku ketiga serta keempat.
“Saya rasa keadaannya sama seperti sebelum ini. Kami bolos dua gol awal dalam beberapa minit pertama dan itu menyukarkan kami untuk mengejar permainan. Ketika cuba bangkit, kami pula melepaskan gol ketiga. Selepas itu, para pemain sedar perlawanan ini memang akan menjadi sangat sukar.
“Walaupun ketinggalan 5-0, pemain-pemain tetap berusaha dan tidak berputus asa. Saya rasa sebenarnya kami berpeluang menjaringkan beberapa gol lagi, tetapi penyudah kami tidak menjadi.
“Jika selepas 2-0 kami dapat menjadikan 2-1, mungkin cerita berbeza. Tetapi apabila kami bolos gol ketiga, ia sangat sukar untuk mengejar. Namun, saya tetap bangga kerana pemain berjuang hingga minit terakhir. Pada suku terakhir, kami ada tiga atau empat peluang yang sepatutnya boleh disudahkan.
“Kami sepatutnya boleh menambah empat atau lima gol namun, keputusan 6-1 itu perlu kami terima. New Zealand bermain dengan sangat baik, terutama pada suku pertama dan kedua. Pada suku ketiga dan keempat, saya rasa kami bermain lebih baik tetapi gagal menjaringkan gol.,” katanya selepas perlawanan.
Untuk rekod, edisi lalu Malaysia turut tewas dengan New Zealand menerusi keputusan 2-3 pada penentuan ke-3/ke-4 dan menutup kempen ditangga keempat.









