Malaysian Tigress membuktikan mereka memiliki mentaliti berkelas dunia apabila segera bangkit daripada kekecewaan pada perlawanan pertama dengan berpesta gol pada aksi kedua Kumpulan A membelasah Taiwan 11-1, hari ini.
Terdahulu, Skuad Hoki Wanita Negara memulakan kempen kejohanan yang berlangsung di Gongshu dengan langkah kiri apabila tewas 0-8 kepada tuan rumah, China yang juga pemenang pingat perak Sukan Olimpik, pada aksi pembukaan kumpulan.
Pada aksi di Stadium Canal Sports Park Gongshu, skuad wanita negara memulakan permainan dengan cukup cemerlang dan garang apabila hanya memerlukan dua minit untuk merobek gawang Taiwan menerusi gol padang Nur Afiqah Syahzani Azhar.
Seminit kemudian, giliran Nuramirah Shakirah Zulkifli mencetak nama sebagai penjaring menerusi gol padang, disusuli penyudah pukulan sudut penalti disempurnakan Khairunnisa Ayuni Mohd Sharuddin pada minit kelapan.
Malaysian Tigress terus bernafsu memburu jaringan apabila Hanis Nadiah Onn meledak gol padang di minit ke-14, Nuramirah Shakirah (m-16), Fatin Shafika Mahd Sukri dan Nur Afiqah masing-masing menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-21 serta m-23 bagi menutup babak pertama dengan mendahului 7-0.
Memasuki babak kedua, skuad kendalian Mohd Nasihin Nubli Ibrahim terus mengasak benteng Taiwan dan hasilnya mereka memperolehi empat lagi gol bermula dengan penyudah pukulan sudut penalti Khairunnisa Ayuni pada minit ke-32.
Dua gol padang dijaringkan oleh Siti Nur Arfah Mohd Nor pada minit ke-36 dan 56 serta ledakan Nur Afiqah pada penghujung perlawanan manakala gol saguhati Taiwan diperolehi menerusi penyudah pukulan penalti stroke Huang Yu-Ting (m-59).
Ketua jurulatih negara, Mohd Nasihin Nubli Ibrahim memuji semangat juang pemain-pemainnya yang bangkit segera melupakan kekalahan ditangan China dengan mencipta kemenangan besar pada perlawanan hari ini.
Jelasnya, keputusan ini akan memberi motivasi tinggi untuk pemain meneruskan momentum menjelang aksi terakhir peringkat kumpulan berdepan Korea Selatan pada pukul 4.45 petang esok di venue sama.
Nasihin Nubli menegaskan aksi berdepan Korea Selatan bukan perlawanan yang mudah tetapi beliau percaya tidak mustahil untuk anak buahnya mencatat kemenangan bagi mengulangi apa yang dilakukan mereka di Kejohanan Hoki Wanita Juara-Juara Asia di India menewaskan lawannya itu.
“Alhamdullilah kita dapat menang hari ini, satu keputusan yang bagus untuk kita bawa pada perlawanan seterusnya dan ia adalah perkara yang positif buat kita.
“Hari ini kita ada beberapa peluang terutamanya menerusi pukulan sudut penalti, di mana kita dapat menjaringkan empat gol tetapi kita perlu lebih tajam dalam menyudah peluang.
“Untuk perlawanan menentang Korea Selatan mungkin kita tidak akan dapat jumlah pukulan sudut penalti yang banyak seperti perlawanan hari ini. Kita tahu Korea Selatan pasukan yang sangat berdisplin, staminat yang tinggi dan pasukan yang berpengalaman.
“Jadi kita akan buat analisis video perlawanan hari ini dan semua pemain harus fokus untuk perlawanan menentang Korea Selatan esok. Kita pernah menang dengan mereka pada perlawanan terakhir berdepan mereka di India. Saya pasti kemenangan besar hari ini pemain akan lebih bersemangat untuk perlawanan seterusnya,” katanya selepas perlawanan.









