Malaysian Tigress Cerahkan Peluang Rebut Kedudukan Lima Terbaik

Skuad Hoki Wanita Negara memulakan peringkat klasifikasi tempat kelima hingga kelapan Kejohanan Hoki Piala Asia Wanita 2025 di Hangzhou, China dengan langkah kanan apabila mencatat kemenangan 5-1 ke atas Singapura, hari ini.

 

Kelima-lima gol yang diperolehi pada perlawanan itu, semuanya daripada pukulan sudut penalti (PC), tatkala aksi terhenti hampir sejam setengah ekoran faktor cuaca, sebelum kembali bersambung pada minit ke-50.

 

Pada aksi itu, Malaysian Tigress hanya memerlukan masa enam minit untuk merobek gawang Singapura menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan oleh Khairunnisa Ayuni Mohd Sharuddin.

 

Dayang Nuramirah Abang Mahadini menggandakan kedudukan buat Malaysia dengan meledak dua gol menerusi pukulan sudut penalti, masing-masing pada minit ke-16 dan m-18, disusuli gol keempat oleh Khairunnisa Ayuni.

 

Nuramirah Shakirah Zulkifli turut mencetak nama sebagai penjaring pada minit ke-41 manakala gol saguhati Singapura dijaringkan oleh Johana Hajaratih enam minit sebelum perlawanan tamat.

 

Ketua jurulatih Malaysian Tigress, Mohd Nasihin Nubli Ibrahim mengakui berpuas hati dengan prestasi keseluruhan pemain apabila berjaya melakar kemenangan.

 

Jelasnya, perkara paling penting adalah semua pemain bebas daripada kecederaan, ini membolehkan beliau menurunkan skuad terbaik pada perlawanan seterusnya berdepan Thailand.

 

“Alhamdullilah pada separuh masa pertama, pemain-pemain bermain dengan baik dan menghukum pihak lawan dengan empat gol awal.

 

“Memasuki suku ketiga padang agak berat kerana hujan, dan suku keempat selepas berehat selama sejam lebih pemain nampak kehilangan fokus. Namun begitu saya bersyukur kerana kita tiada kecederaan serius.

 

“Ia penting kerana kita akan bermain pada perlawanan seterusnya terutamanya apabila bertemu Thailand.

 

”Pukulan sudut penalti hari ini, kita menjaringkan lima gol daripada 14 PC yang diperolehi, boleh dikatakan ok tetapi masih perlu diperbaiki.

 

“Pada suku keempat kita mendapat beberapa PC tetapi disebabkan padang yang agak berat menyebabkan kesukaran di situ,” kata Mohd Nasihin selepas perlawanan.

 

Mengulas mengenai perlawanan menentang Thailand, Mohd Nasihin menyeru anak buahnya meningkatkan prestasi dan bermain dengan lebih berdisiplin, selain tidak mempersia-siakan peluang untuk menjaringkan gol.

 

“Perlawanan seterusnya adalah berdepan Thailand, saya rasa kita perlu lebih berdisplin terutama bahagian pertahanan dan saya melihat beberapa pemain perlu bangkit.

 

“Kita juga perlu mengambil peluang dengan baki tiga perlawanan lagi dengan memperolehi keputusan terbaik. Ini juga adalah untuk persiapan menjelang Sukan SEA, dimana beberapa pemain yang berada di Malaysia perlu juga bersedia,” ujarnya.