Malaysian Tigress Intai Kedudukan Kelima Terbaik

Skuad hoki wanita negara akan meneruskan perebutan kedudukan 5 dan 6 di Kelayakan Piala Dunia selepas berjaya menewaskan Switzerland 3-1 pada penentuan tempat ke-5 hingga 8 di Santiago, Chile.

 

Pada aksi itu, Malaysia yang masih kecewa berikutan terlepas tiket ke Piala Dunia susulan tewas dengan Jepun pada aksi terakhir kumpulan mempamerkan kebangkitan untuk memburu kedudukan lima terbaik.

 

Pada aksi itu, Siti Nur Arfah Mohd Nor memecah kebuntuan gol pada minit ke-25 selepas menyempurnakan pukulan sudut penalti.

 

Seminit kemudian, skuad negara menggandakan kedudukan kali ini menerusi sentuhan penyudah Fatin Shafika Mahd Sukri juga melalui pukulan sudut penalti.

 

Nur Afiqah Syahzani Azhar memastikan Malaysia selesa mendahului menerusi gol ketiga hasil jaringan padang pada minit ke-37. Sementara Switzerland memperolehi gol saguhati pada minit ke-43 hasil penyudah pukulan sudut penalti oleh Sofie Stomps.

 

Pengendali Malaysian Tigress, Nasihin Nubli Ibrahim menghembur pujian kepada pemain-pemainnya kerana menunjukkan prestasi cukup baik ketika menewaskan Switzerland.

 

“Alhamdullilah kita dapat menang mengalah Switzerland, memang satu permainan yang baik memandangkan pasukan Switzerland bukanlah calang-calang pasukan Eropah kerana mereka juga menyukarkan pasukan Australia, Perancis dan Chile di peringkat kumpulan dengan memberi tentangan baik.

 

“Jadi kita menjangkakan pemain-pemain bermula dengan baik, gol awal betul-betul membunuh lawan tetapi suku terakhir kita nampak mereka mula datang kepada kita namun pemain-pemain kita cekal dan disiplin.

 

“Paling utama adalah kita mendapat perlawanan yang berkualiti di sini kerana pemain-pemain muda kita mula menunjukkan keyakinan dan prestasi yang semakin meningkat, jadi kita perlukan ini,” katanya selepas perlawanan.

 

Mengulas mengenai pertemuan menentang Perancis bagi perebutan tempat ke-5 dan ke-6, Nasihin menyifatkan lawannya menjadi pasukan pilihan berikutan kedudukan ranking namun beliau optimis anak buahnya mampu melakar kejutan.

 

“Untuk bertemu Perancis iaitu pasukan yang berpengalaman dan berada diranking lebih tinggi daripada kita maka tekanan bukanlah kepada kita tetapi kepada mereka.

 

“Pemain-pemain akan cuba beri aksi terbaik dan cuba mendapatkan posisi kelima. Jadi malam ini kita akan buat pemulihan penuh sebelum turun bermain dalam perlawanan ini,” ujarnya.

 

Untuk rekod, Perancis berada di kedudukan ke-19 dunia manakala Malaysia di tangga ke-21.

 

Sementara itu, kapten skuad hoki wanita negara, Juliani Din berkata pasukan itu kini mengalih tumpuan kepada pertemuan pertama mereka menentang pasukan Perancis yang berada di ranking lebih tinggi.

 

“Kami perlu menganalisis permainan mereka dan bermain mengikut kekuatan kami untuk beraksi dengan baik dalam perlawanan ini. Ia akan menjadi pencapaian yang hebat jika kami dapat mengalahkan Perancis yang berada di ranking lebih tinggi,” kata Juliani.