Skuad hoki dalam dewan wanita negara muncul juara edisi sulung kejohanan Piala Tuanku Zara 2019 selepas mengatasi Uzbekistan 3-0 dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Dewan Jubli Perak, Kuala Kangsar pada Ahad.

Kedua-dua pasukan sekali lagi bertembung bagi perebutan kejuaraan selepas aksi peringkat kumpulan pada Sabtu memihak skuad negara menerusi keputusan 2-0.

Begitupun untuk perebutan kejuaraan kali ini skuad kendalian Muhammad Dharma Raj Abdullah menerima tentangan hebat lawan yang tidak memberikan ruang yang mudah kepada Malaysian Tigress.

Babak pertama berlangsung seimbang di sebalik peluang buat kedua-dua pasukan untuk peroleh jaringan namun dihampakan dengan ketumpulan bahagian penyudah.

Kebuntuan jaringan hanya terlerai dalam babak berikutnya apabila Nur Aisyah Yaacob menyempurnakan pukulan sudut penalti bagi memberikan pendahuluan kepada Malaysia pada minit ke-25.

Lima minit kemudian, skuad negara menggandakan pendahuluan apabila Nur Aisyah sekali lagi temui sentuhan penyudah menerusi pukulan sudut penalti.

Kejuaraan sah menjadi milik Malaysia dengan Qasidah Najwa Muhammad Halimi peroleh jaringan ketiga pada minit ke-33 untuk keputusan akhir 3-0 memihak kepada skuad negara.

“Uzbekistan memberikan tentangan yang hebat kepada kami semalam jadi kami lebih bersedia dalam pertemuan kali ini, kami dapat mencipta peluang dan sempurnakan dua pukulan sudut penalti serta satu gol padang, aksi ini lebih baik jika dibandingkan dengan sebelum ini.

“Secara keseluruhan saya amat berpuas hati dengan corak permainan yang ditampilkan untuk kami bergelar juara kejohanan ini,” jelas Dharma Raj.

Tumpuan utama skuad hoki dalam dewan wanita negara selepas ini sudah pasti Sukan SEA di Filipina di mana Dharma Raj diberi tugasan untuk Malaysia meraih pingat emas selepas pada edisi 2017 di Kuala Lumpur sekadar meraih pingat gangsa dengan menewaskan Singapura bagi penentuan tempat ketiga.

Namun dia jelaskan masih memerlukan sedikit lagi masa untuk perhalusi prestasi setiap pemain sebelum umumkan senarai akhir pasukan untuk ke Filipina nanti.

“Saya mempunyai empat atau lima pemain yang beraksi di sini yang hampir pasti mendapat tempat ke Sukan SEA, selebihnya saya akan gabungkan bersama satu lagi skuad yang jalani aksi persahabatan dengan Singapura minggu ini bagi mendapatkan satu pasukan yang cukup mantap.”