Malaysian Tigress mengesahkan tempat di separuh akhir selepas melakar kemenangan kedua menundukkan Thailand 2-0 pada perlawanan terakhir peringkat round robin Kejohanan Hoki Wanita Juara-Juara Asia di Stadium Hoki Universiti Sukan Bihar, India, hari ini.

 

Dua gol skuad hoki wanita negara dijaringkan oleh Nur Afiqah Syahzani Azhar (minit ke-41) dan Nur Iman Adawiyah Mohd Suhaimi (minit ke-53).

 

Kejayaan ke atas pasukan dari negara tetangga itu membolehkan Malaysia kini mengumpul enam mata daripada dua kemenangan dan melonjak ke tangga ketiga.

 

Pasukan bimbingan Nasihin Nubli Ibrahim itu yang tidak mempunyai pilihan melainkan wajib melakar kemenangan ke atas Thailand sekaligus mencapai sasaran ke separuh akhir.

 

Pencabar terdekat Malaysian Tigress, iaitu Korea Selatan tewas 0-2 di tangan China yang telahpun layak ke peringkat empat terbaik lebih awal.

 

Kekalahan tersebut bermakna kedudukan di dalam kelompok empat terbaik tidak lagi mampu digugat Korea Selatan selepas sekadar mengutip empat mata daripada lima perlawanan dan kekal di tangga kelima.

 

Jepun turut mengiringi skuad kebangsaan ke separuh akhir setelah mengumpul lima mata, walaupun, masih belum turun menentang India dalam perlawanan terakhir peringkat round robin.

 

Ketua jurulatih Malaysian Tigress, Nasihin melahirkan rasa syukur di atas kemenangan kedua yang dilakar anak-anak buahnya menentang Thailand, hari ini.

 

“Namun begitu, saya rasa kita tidak bermain seperti yang sepatutnya dan terdapat kelemahan yang harus kita perkuatkan,” katanya.

 

Bagaimanapun, beliau memberitahu, gol yang dihasilkan pemainnya menerusi pukulan sudut penalti merupakan satu jaringan yang cantik.

 

Jelasnya, para pemain masih perlu banyak belajar bagi terus memperbaiki pukulan sudut penalti dan tahap kecergasan masing-masing yang masih ada jurang yang jauh dengan beberapa pasukan gergasi Asia.

 

“Kita ada masa untuk kuatkan persembahan kita, tetapi, saya mahu para pemain tahu selepas Piala Juara-Juara Asia, mereka perlu bekerja keras lagi dan kekal konsisten untuk dapat tempat terbaik di Asia,” ujarnya.